Monday 2 September 2013

Seindah Cintamu



Bab 31


PAK WAN dan Mak Mon menunggu ketibaan majikan mereka di rumah banglo besar itu. Sudah lama majikan mereka itu tidak pulang ke Malaysia. Tambahan pula, Johan turut pulang bersama dengan keadaan yang kembali normal seperti sedia kala.
          Melihat pintu pagar automatik itu bergerak sendiri membuka laluan untuk kereta mewah itu masuk ke dalam halaman rumah membuatkan Pak Wan dan Mak Mon tersenyum senang.
          “Assalamualaikum abang Wan, kak Mon.” Tan Sri Nazirul Fadli sememangnya terkenal dengan sikap peramah tidak pernah sombong dengan pekerja-pekerjanya.
          “Waalaikumussalam Tan Sri, Puan Sri.” Jawab Pak Wan dan Mak Mon serentak.
Puan Sri Dr. Nazia Aminah tersenyum dan bersalaman dengan Mak Mon. Johan yang keluar dari kereta turut menyapa kedua-dua orang tua itu.
Dr. Fazlin mencelah, “Erm, takde sesiapa ke yang nak masuk ke dalam rumah ni?”
Mereka hanya ketawa sambil mengiyakan kata-kata Dr. Fazlin itu. Johan ditinggalkan sendiri untuk mengangkat kesemua bagasi dari bonet kereta. Sengaja Dr. Fazlin menarik tangan suaminya dan mama dengan papanya sekali untuk masuk ke dalam rumah.
“Puan Sri dah tahu ke tak lagi yang Johan dah berkahwin?”
“Saya dah lama tahu, tapi lambat sehari selepas Johan berkahwin baru adik saya, Mah, bagi tahu kat saya. Kita pun bakal ada ahli baru nanti rasanya, kak Mon.” Kata-kata terakhir itu ditujukan kepada anak perempuannya. Hanya yang memahami maksud kata-kata Puan Sri Dr. Nazia Aminah sahaja yang turut tersenyum. Tan Sri Nazirul Fadli dan Pak Wan hanya terdiam melihat pasangan doktor itu tersenyum bersama isteri mereka masing-masing.
“Mama macam mana boleh tahu?” Pelik pula Dr. Fazlin kerana setahunya tiada sesiapa lagi yang dikhabarkan berita gembira itu. Dia memandang ke arah suaminya yang dirasakan telah memecah rahsia mereka.
“Bukan sayanglah.” Dr. Aiman yang seakan memahami pandangan mata Dr. Fazlin itu.
“Sebab tu orang muda ni jangan nak berselindung dengan orang tua macam kami ni, betul tak kak Mon?” Kata Puan Sri Dr. Nazia Aminah sambil di sokong oleh Mak Mon. Perkataan ‘berselindung’ itu membuatkan pasangan doktor itu terdiam sendiri. Adat orang membuat salah, belum apa-apa sudah gementar sendiri walaupun rahsia masih tersimpan rapi.
“Takpelah, Puan Sri dengan Tan Sri pergilah masuk berehat dulu. Sampai dari jauh berjam-jam perjalanan mesti penat. Bilik pun dah dikemaskan. Nanti-nanti kita boleh borak panjang lagi. Johan tu boleh angkat ke tidak beg-beg besar tu?” Kata Pak Wan sambil mengintai Johan yang sedang berusaha mengeluarkan satu demi satu bagasi mereka.
“Biarkan dia, abang Wan. Anak lelaki mana boleh lemah. Setakat nak angkat beg-beg tu biarkan dia.” Tergelak Puan Sri Dr. Nazia Aminah mendengarkan kata-kata suaminya kepada Pak Wan sambil mendaki naik menuju ke bilik tidur utama.


PENAT mengangkat beg-beg besar, Johan menghempaskan badannya ke katil yang sudah lama ditinggalkan itu. Dia memandang ke sekelilingnya dan siling biliknya. Masih sama seperti dulu walaupun ditinggalkan sudah hampir setahun.
Dia bangun semula lalu membuka tingkap biliknya dan memandang ke sekitar kasawan rumahnya. Tiada apa yang berubah, semuanya tetap sama seperti dahulu. Mungkin yang berubah adalah usia pemiliknya. Johan jadi tergelak sendiri.
Tengah dia duduk termenung di tepi tingkap biliknya, pintu biliknya diketuk dan dibuka. Dia berpaling melihat adiknya sudah berada di dalam biliknya. Pintu yang kembali ditutup rapat dan dikunci itu segera memahamkan Johan tujuan adiknya masuk ke biliknya.
“Abang Jo. Faz ada benda nak tanya ni?”
“Apa dia?”
“Apa status perkahwinan abang Jo dengan Julia sekarang ni? Dulu masa abang Jo tinggalkan Malaysia, memang Faz diamkan hal ni. Aiman pun tegah bila Faz nak masuk campur.”
Johan terdiam dan membuat isyarat agar adiknya duduk di birai katil. Dia turut duduk di sisi adiknya.
“Julia masih isteri abang yang sah.”
“Tapi suami yang meninggalkan isterinya lebih dari empat bulan berturut-turut tanpa nafkah…”
“Mana adik tahu abang Jo tak bagi nafkah kepada Julia?” Terus Johan memotong kata-kata adiknya.
“Maksud abang Jo?”
“Abang Jo tahu setiap apa yang berlaku di Malaysia, Rusdi kawan abang Jo tu sentiasa ceritakan pada abang Jo. Dari melalui duit gaji bulanan Julia, abang Jo turut masukkan sejumlah wang sebagai nafkah abang kepada dia. Mungkin orang lain tak tahu, hanya abang Jo dengan Rusdi je yang tahu hal ni.”
Mendengarkan kata-kata abangnya itu, Dr. Fazlin menarik nafas lega. Tapi itu tidak bermakna dia boleh terus menarik nafas lega.
“Dulu kita marahkan sikap kejam keluarga Mak Long Julia terhadap Julia. Sekarang ni tindakan abang Jo terhadap Julia, bukankah boleh dikatakan kejam jugak terhadap isteri?” terus Dr. Fazlin menempelak abangnya sendiri.
“Faz, tak ingat ke baby dalam perut tu kalau Faz nak marah-marah abang Jo? Mama bagi tahu abang Jo tadi yang Faz mengandung lagi. Tahniah abang Jo ucapkan.”
Terus Dr. Fazlin terdiam dan mengurut dada. Kerana itulah, suaminya menegah dia dari mencampuri urusan abang kandungnya sendiri.

3 comments:

  1. salam Lin , best lah sambungan cerita ni. Lin tlg sambung ceteri ni cepat sikit blh x. Bila nak tukar versi cetak pula.Pls.........thks

    ReplyDelete
  2. cerita yang baik dan best,bila bole bc n3 full yea..

    ReplyDelete