Bab
26
KINI
sudah genap 3 bulan Julia bekerja di syarikat Johan. Ketika itu juga Johan mula
berasa kebosanan apabila Julia meninggalkannya sendirian di rumah. Tiada apa
yang dapat menarik perhatiannya di rumah itu melainkan apabila hampir dengan
habis waktu pejabat, dia mula menyepahkan keadaan rumah. Dia ingin melihat
sejauh mana Julia mampu bersabar dengannya.
Johan menunggu dan terus menunggu
sambil memerhati keadaan rumah yang tidak kemas dan berbau busuk itu. Sambil
itu, dia menjeling ke arah pintu utama menantikan wajah kesayangannya.
‘Kalau aku sayangkan dia, kenapa aku
buat macam ni?’ soal hati Johan. Persoalan yang dia sendiri tidak tahu akan
jawapannya.
Julia yang pulang kepenatan bekerja
terkaku melihat rumah yang bersepah dan tidak berkemas. Sejak akhir-akhir ini,
dia semakin tertekan dengan tugasnya di pejabat dan tingkah laku Johan yang
semakin meregut kesabarannya saban hari.
Sudahlah di pejabat dia ditekan dari
kiri dan kanan, di rumah pula Johan pula membuat perangai. Sabar yang ditahan
dari pejabat kini semakin menipis.
“Kenapa bersepah ni abang?” Julia
menarik nafas perlahan-lahan. Dia meletakkan beg kerjanya dan terus masuk ke
dapur. Dia meneguk segelas air untuk melegakan perasaannya sebelum mencapai
penyapu yang diletakkan di belakang pintu. Penat bekerja seharian bergabung
dengan penat mengemas rumah.
Julia terhenti menyapu bila melihat
bekas air milo yang tertumpah sudah kering dan melekit. “Abang buat air milo ke
tadi?” Julia masuk semula ke dapur dan mengambil cebisan kain kotor dan baldi
kecil. Dia mula mengelap lantai dan membersihkan bekas air mula berbau itu.
“Erm…” Itu sahaja yang keluar dari
mulut Johan yang sedang tekun melihat tv. Julia yang semakin kesabarannya
menipis itu terus menutup tv dan berdiri di hadapan Johan.
“Abang… Jawab leklok tak boleh ke?
Mulut ada tapi tak berbunyi. Ni rumah ni kenapa bersepah macam ni? Abang kan
tak baca suratkhabar, macam mana boleh bersepah ni? Ju letak elok-elok dalam
bakul tu, kenapa abang keluarkan?”
“Abang bosan. Abang lapar.” Johan
menundukkan wajahnya dari memandang anak mata Julia. Dia tak mampu untuk
melihat wajah penat dan amarah isterinya apabila dia berbuat demikian. Kalaulah
adiknya Dr. Fazlin tahu akan hal ini, mahu berbirat telinganya di pulas oleh
adiknya.
“Haihhh….” Julia hanya memandang Johan
yang seakan menikus melihat dia sedang marah. Julia duduk berlutut di hadapan
Johan seakan ingin memujuk.
“Ju masakkan makanan untuk abang.”
Julia memegang kepala lutut suaminya dan terus bangun menuju ke dapur. Dia menyimpan
penyapu dan membuka peti sejuk untuk mengeluarkan bahan-bahan untuk dimasak.
Nasi
putih yang ditanak pagi tadi dipanaskan kembali. Sudah menjadi rutin sebelum
pergi kerja, dia akan memasak nasi agar mencepatkan kerjanya untuk memasak
apabila pulang dari kerja. Dia tidak seperti isteri-isteri yang bekerja dan hanya
lebih gemar untuk membeli makanan di luar. Penat macam mana sekalipun, dia akan
tetap memasak sedikit makanan untuk Johan.
Sedang dia memotong bawang, airmata
yang ditahan, menitis jua. Perlahan-lahan mengalir di pipinya. Kejadian di
pejabat kembali menjengah di fikiran.
“JULIA!!! Kalau begini kerja kau, baik
kau tak payah bekerja. Pergi duduk rumah jaga anak.” Terus dia dimaki tanpa dia
mengetahui apakah kesalahannya. Mardhiyah turut bangkit dari mejanya dan
mendapatkan Julia. Julia mengusap mukanya yang sakit akibat lemparan kertas
dari Hazmi.
“Hazmi, perlu ke kau menengking begitu
pada Julia?” Mardhiyah menolong Julia yang sedang memungut segala kertas yang
dilemparkan pada Julia.
“Perlu!!! Sebab dia ni bodoh tak boleh
nak diajar. Berapa kali aku ajar pun tetap buat benda yang sama.” Boleh
dikatakan suara Hazmi tu satu department boleh mendengarnya tanpa perlu memakai
pembesar suara.
“Hazmi, cakap elok-elok tak boleh ke?”
Mardhiyah meneliti setiap helaian report yang dikutipnya tadi. Julia hanya
mendiamkan diri menahan malu apabila ramainya mengintai untuk mengetahui apa
yang sedang berlaku itu.
“Hei, ni kerja kau kan!!! Kenapa kau
suruh Julia yang buat?” Mardhiyah pula meninggikan suaranya.
“Itu memang kerja Hazmi, Mardhiyah.
Tapi saya mahu Julia yang buatkan kerja itu bagi pihak Hazmi. Saya berkuasa
untuk menyuruh sesiapa yang saya hendakki, bukan? Dan perempuan ni yang saya
arahkan dia untuk menyiapkan laporan tu.” Suara perempuan yang sinis dari
belakang Mardhiyah.
“Cik Fika. Tapi sepatutnya Hazmi yang
buatkan…”
“Mardhiyah, seeloknya awak tidak
mencampuri segala urusan saya di sini. Lebih baik awak pergi buat kerja awak.
Awak jangan ingat suami awak pernah rapat dengan bos, saya tidak boleh pecat
awak.” Fika terus memotong kata-kata Mardhiyah.
“Cik Fika, saya tidak menumpang untuk
bekerja di sini di atas tiket keakraban suami saya dengan bos. Tapi perbuatan
Cik Fika ni bagi saya tidak professional apabila membuli pekerja perempuan yang
Cik Fika tidak suka. Sekalipun Cik Fika mempunyai jawatan yang lebih tinggi
dari saya, tapi Cik Fika tidak berkuasa untuk memecat saya mahupun pekerja
lain.
Ini
adalah arahan dari Dr. Fazlin sendiri. Sekalipun Dr. Fazlin tidak mencampuri
urusan syarikat ini, Cik Fika tetap tidak berkuasa untuk memecat sesiapa pun
dalam syarikat ini.” Mardhiyah hanya berkata dengan tenang dan suaranya
berbunyi tegas.
Memerah muka Fika menahan marah
terhadap Mardhiyah. “Do you know who am I??!! I am Datuk Khalid’s daughter, my
father’s company has partnership with this company. Of course I ada kuasa dalam
syarikat ni. I sendiri sangat rapat dengan Puan Sri dan kalau dengan si Faz tu,
dia takkan menang jugak kalau Puan Sri sebelahkan I. I adalah calon untuk bakal
isteri bos korang. You should show me a respect!!! Kau, jangan ingat ada orang
backup kau kuat!!!” Melengking suara Fika menuding jarinya ke muka Julia dan
dia terus berlalu pergi.
Entah
kenapa dia tidak menyukai kehadiran Julia di syarikat itu. Kecantikan Julia
yang menjadi buah mulut pekerja-pekerja lelaki sedikit sebanyak membuatkan
hatinya berasa cemburu dan dia inginkan perhatian sebegitu juga. Sekalipun
Julia tidak pernah melayan gurau senda pekerja-pekerja lelaki yang gemar
mengusiknya, dia tetap berasa Julia tidak selayaknya dilayan sebegitu.
Julia mengurut dada mendengar suara
Fika yang begitu kuat. Hazmi hanya berdiam diri dan Mardhiyah tidak menunggu
masa yang lama untuk menghentam Hazmi pula lepas tu.
“Pergi
kau pujuk puan bos kesayangan kau tu. Pergi jilat dan sapu najis dia kat tangan
kau tu. Memang kata-kata aku ni kasar, tapi kau kena sedar sikit bila bos dah
kembali nanti, segala perbuatan kau bukan sorang yang akan laporkan pada bos.
Kau patut ingat tu Hazmi.” Mardhiyah mencerlung ke arah mata Hazmi. Hazmi terus
mengambil laporan itu dari tangan Julia dan berlalu pergi.
“Julia, sambung buat kerja kau.
Diorang tu memang.” Mardhiyah mengurut lembut bahu Julia. Julia hanya memandang
ke arah mata-matanya yang sejak tadi hanya menjadi pemerhati. Dia hanya duduk
perlahan di kerusinya dan apa yang terjadi sebentar tadi tu sebenarnya
mengembalikan memori yang hampir terpadam semenjak dia menikah dengan Johan.
ADA
tangan yang sedang memeluknya dari belakang sekaligus mengembalikannya kea lam
realiti. “Kenapa nangis? Marah kat abang ke?” Terasa sangat kebudak-budakan
dari nada suara suamiku.
“Bukanlah, pedih potong bawang ni.
Abang ni kan kalau peluk macam ni selalu Ju suka sangat. Rasa tenang je dalam
pelukan abang. Rasa selamat.” Perlahan aku berkata begitu. Entah faham atau
tidak, Johan hanya semakin mengeratkan pelukannya di tubuh Julia. Johan tahu
apa yang telah berlaku di pejabat tadi.
Rusdi telah menyampaikan segala cerita
kepadanya dan dia turut mengena hentaman dari Rusdi apabila dia hanya berdiam
di telefon tanpa sebarang respon.
“Esok cuti pergi kubur nak?” Tanya
Johan perlahan di belakang Julia. Tangan Julia yang kembali memotong bawang itu
terhenti bila mendengarkan cadangan dari Johan. Terus dia tersenyum dan
mengangguk.
“Erm,
abang pergi tengok Conan dulu. Julia nak goreng ayam ni. Abang suka makan ayam
goreng kan. Nanti dah siap Ju panggil, kita makan.” Dia meleraikan pelukan
Johan di pinggangnya. Jika dahulu, dia sangat geli apabila orang memeluknya
atau mencuit di pinggangnya tapi apabila Johan memeluknya dia tidak berasa geli
malah dadanya berasa berdebar untuk menunggu perbuatan Johan seterusnya.
Bila
Johan pergi meninggalkannya sendirian di dapur, barulah dia menarik nafas lega
dan memikirkan sudah lama dia tidak dilayan dengan buruk. Dia sangat bersyukur
dengan keadaan begitu dan kembali tersenyum.
‘Lemahkah
aku apabila gembira dengan bahagia yang tidak seberapa ini? Apa-apa pun aku
tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk merasa apa tu makna ketenangan.’
Bisik hati Julia.
MESEJ
yang dihantar kepada adiknya Dr. Fazlin terus mendapat respon segera dan
balasannya hanyalah, “SI FIKA TU AWAS.”
Nak tergelak dia baca mesej adiknya. Memang sejak kecil lagi Faz tidak mesra
dengan Fika dan di mana lebihnya Fika pun dia tidak tahu apabila mamanya beria
membela Fika dan akan menyalahkan Dr. Fazlin walaupun bukan dari kesalahannya.
Sebab itulah adiknya Dr. Fazlin tidak mesra dan selalu memerli mamanya dengan
kata-kata yang pedas.
Kalau nak di ikutkan kepentingan
syarikat, sepatutnya papalah orang yang akan beria-ia untuk menjodohkan Johan
dengan Fika tapi dalam hal ini menjadi terbalik pula. Tan Sri Nazirul Fadli
tidaklah terlalu mengongkong setiap pilihan anak-anaknya.
No comments:
Post a Comment