Recent Posts

Monday, 15 July 2013

Ujian Allah Ke Atas Keluargaku.


Assalamualaikum w.b.t….
Baru hari ini saya dapat meng”update” blog ini setelah saya dapat menenangkan diri dengan ujian Allah ke atas diri ini dan sekeluarga dengan satu pemergian.

10 Julai 2013 / 1 Ramadhan 1434 Hijriah
Pada tahun ini saya tidak dapat berbuka puasa pada hari pertama itu bersama keluarga kerana kekangan masa tambahan pula pada keesokan harinya saya mempunyai peperiksaan untuk semester 4. Bersama sahabat saya, Badriah, kami hanya berdua berbuka puasa pada hari pertama itu di kolej Mawar, UiTM Shah Alam.

Pada malam itu, masih saya ingat jam 10.36 malam saya menelefon ayah untuk memberitahu bahawa saya sudah kehabisan duit. Biasanya saya akan mempunyai sedikit simpanan untuk perkara kecemasan, jadi duit lebih itu tidak akan saya gunakan. Seronok dapat berborak dengan ayah yang mengusik untuk membuatkan saya jeles bahawa ayah membawa 2 orang kakak saya pergi membuat terapi kaki di kampung. Bila saya merajuk dengan usikan itu, ayah berjanji apabila saya sudah habis periksa nanti pada 14hb Julai, ayah akan membawa saya pula nanti. Saya masih ingat ayat terakhir yang saya ucapkan pada ayah, LIN SAYANG AYAH… Banyak kali saya ucapkan sampailah ayah mengakhiri perbualan kami berdua.
Selepas itu saya meneruskan pembacaan untuk persediaan untuk keesokan hari peperiksaan yang akan bermula pada jam 9.00 pagi.

11 Julai 2013 / 2 Ramadhan 1434 Hijriah
9.00 pagi
Jika dilihat pada hari sebelum itu, sebelum saya melangkah ke dewan peperiksaan, saya akan menelefon ayah itu memohon restu dan meminta agar ayah berdoa di samping saya turut berdoa agar segala urusan dipermudahkan. Namun pada pagi itu saya sudah kelewatan pergi ke dewan peperiksaan. Sedikit kelam kabut pada pagi itu sehinggakan saya terlupa untuk menelefon ayah pada pagi itu. Saya terus melangkah masuk ke dewan peperiksaan.

11.00 pagi
Setelah tamat peperiksaan pada jam 11.00 pagi, saya masih belum sempat untuk menelefon ayah untuk mengkhabarkan saya sudah habis peperiksaan untuk hari itu kerana saya bergegas untuk bertemu dengan pensyarah saya untuk mengambil buku log untuk kesenangan waktu praktikal nanti.

Pensyarah En. Nadzari pula tiada di penjabatnya kerana beliau bertugas untuk menjaga dan mengawal di dewan periksa. Temujanji kedua di buat pada jam 2.00 petang pula. Kebiasaannya selepas habis peperiksaan, saya dan kawan-kawan akan melepak untuk merehatkan minda di Kolej Anggerik, UiTM Shah Alam. Berborak dan berbual mengenai kertas subjek periksa tadi bersama-sama kawan-kawan yang lain.

12.00 tengah hari
Kawan-kawan boleh memjadi saksi bahawa ayah tidak dapat dihubungi, bukan tidak dapat tapi seperti panggilan tidak berjawab. Anggapan dalam fikiran mungkin ayah sedang sibuk di kaunter urusan pelan tanah di JUPEM Kuala Terengganu, Terengganu. Segala fikiran yang baik-baik sahaja berlegar di fikiran.

12.30 tengah hari
Setelah ayah masih gagal dihubungi, di skrin telefon saya, nama ALONG, kakak saya yang sulung pula menghubungi saya.
Along : Assalamualaikum.
Saya : Waalaikumsalam.
Along : Lin ada kat mana ni?
Saya : Ada kat Anggerik long. Baru habis exam.
Along : Kawan-kawan ada kat sebelah?
Saya : Ada Long. Kenapa Long?
Along : Sape kawan Lin tu?
Saya : Betul ke Along ni? Macam tak caya je.
Along : Alonglah ni. Sape kawan lin tu?
Saya : Kak wani, Long. Kenapa ni Long?
Along : Along ada benda nak bagitahu ni. Lin jangan kejut. Ayah accident tadi terus meninggal dunia.

Telefon terlepas dari tangan jatuh ke riba dan terus airmata saya mengalir laju seperti tidak percaya. Kawan-kawan terutamanya Kak Wani mula menepuk bahu dan bertanya kenapa?

Saya : Ayah Lin takde dah Kak Wani. Ayah Lin takde dah. Ayah accident. Ayah takde dah.

Saya menangis di bahu Kak wani sambil talian kakak sulungku masih bersambung. Seperti mendengar suara Along yang memanggil, saya kembali dekatkan balik telefon ke telinga dengan pandangan kabur dek airmata.

Along : Bawa bertenang. Nanti Abang Anas (sepupu) akan ambil Lin untuk bawa balik ke Terengganu. Lin kemaslah apa yang patut untuk bawa balik. Bersabarlah, Along dengan Kak Ya (kakak keduaku), nak buat pengecaman mayat ni kat hospital besar.

Semakin deras airmata ini mengalir di pipi setelah aku menamatkan panggilan Along. Kak Wani terus menggosok belakangku untuk menyabarkan aku dengan dugaan ini.

Saya : Lin baru cakap dengan ayah semalam, Kak Wani. Lin baru cakap dengan ayah semalam, Kak Wani. Bad (Badriah) ada kat sebelah Lin semalam Kak wani. Lin baru cakap dengan ayah semalam.
Kak Wani : Sabar Lin, ingat Allah, Lin. Bertenang Lin.

Hanya itu yang aku mampu dengar dengan jelas kerana ada suara yang turut menyuruhku bertenang tetapi tenggelam dek esakan tangisku.

Dalam pukul 12.45 tengah hari, aku dan 2 orang sepupuku bertolak balik ke Terengganu. Adikku Sarah di Matrikulasi Gopeng, Perak juga sudah teresak apabila aku menghubunginya.
Dalam perjalanan yang aku terasa tersangat lama dan lambat, sepupuku memberitahu jenazah ayah akan dikebumikan selepas Asar. Terus airmata aku mengalir dan tanganku menggagau mencari telefon untuk menghubungi kakak sulungku.

Saya : Tanpa memberi salam terus…. Along, betul ke nak kebumi lepas Asar. Lin mana sempat.
Along : Itu permintaan umi, Lin. Moga jenazah ayah disegerakan. Takpelah, kalau sempat sempatlah. Kalau tak sempat, Lin kena redha segalanya.

Tak tahu banyak mana airmata ini mengalir bila Along berkata demikian. Aku tahu tentang roh yang meminta agar jasadnya disegerakan pengembumiannya.

Dalam perjalanan itu, aku hanya terdiam sepi dan mengesat airmata yang mengalir. Aku tiba di rumah pada jam 6.00 petang. Sebelum itu, aku sudah dikhabarkan segala-galanya sudah selesai. Aku hanya berdiam diri dan sepupuku yang sedang memandu telah mengingatkan aku agar kuat di hadapan umi. Jangan menangis di hadapan umi agar umi juga tidak berasa sedih dan bersalah. Sampai di rumah, orang pertama yang aku tuju adalah umi. Umi sedang duduk di ruang tamu sambil memandang ke arah aku yang sedang melangkah masuk ke dalam rumah.

Tangan umi, ku cium dan umi mendakapku erat.

Umi : Maafkan umi. Bukan umi tak nak tunggu Lin balik.

Terus airmata aku mengalir sambil menggelengkan kepala. Bukan salah umi berbuat demikian. Sememangnya aku sudah redha dengan segala-galanya. Setelah tenang dalam pelukan umi, pelukan seorang umi memang ajaib, hati yang walang pun boleh menjadi tenang.

Along memberitahu bahawa Kak Ya ada mengambil gambar wajah terakhir arwah ayah untuk tatapi terakhir aku dan adikku Sarah.

Hampir terduduk aku apabila melihat wajah arwah ayah yang seakan tidur nyenyak dalam kafannya. Airmata semakin tidak tertahan dan along memelukku erat.

Saya : Ayah tak sempat untuk mewalikan seorang pun anak perempuannya.
Along : Sabarlah Lin. Sabarlah Lin.

Adikku Sarah sampai di rumah pada tengah malam itu setelah tamatnya tahlil. Seperti aku juga, orang pertama yang ditujunya adalah umi. Menangis teresak-esak dia di pelukan umi. Aku tidak mampu memandang wajah umi yang turut bergenang airmata. Seperti aku juga, umi meminta maaf kerana tidak dapat menunggu. Bukan kami sahaja yang bergenang airmata, ibu-ibu saudaraku iaitu Mak Ina, Mak Long, Mak Gee, dan Cuda turut bergenang airmata.


kak sulungku, arwah ayah, umi, adikku sarah.
aku, adik bongsuku hakimi, kak ya.

Bila agaknya kami boleh tersenyum begini lagi?



Hanya ini sahaja yang saya mampu tulis untuk hari ini. Sememangnya ada 3 perkara amalan yang dibawa mati.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya.

In Shaa Allah, ayah, Lin akan berusaha untuk menjadi anak yang soleh dan solehah agar kita dapat bertemu di akhirat kelak. Apa yang ayah tegah, lin akan jauhi, sesungguhnya apa yang ayah larang adalah larangan Allah s.w.t.
Semoga roh ayah ditempatkan bersama hamba-hambaNya yang soleh dan beriman.

Sunday, 7 July 2013

Kebencian Terlalu!!!!

(pinjam gambar... heheh... tengah geram ni...)


Hari ni tak tahulah semua jadi serba tak kena... Ada sape-sape tahu ke kenapa email yahoo jadi tak boleh nak login padahal password tak tukar-tukar pon... Yang sakit hati sangat-sangat ni baru semalam buke gune password yang same... Hari ni dah tak boleh dah... Dahlah banyak benda dalam tu... 

Semua benda gune email tu, Facebook, Nuffnang, Churpchurp, Tonton, Zalora, Twoo, Twitter, banyak lagilah... Pastu nak login tu kena gune secret question yang last update november 2009.... Ingat tu memang ingat tapi still kate salah... Yahoo weh.... Jangan jadi bengong sangat boleh tak... Menyesalnya daku sebab tak import semua benda ke gmail... Lepas ni tobat dan serik nak guna Yahoo dah... 

P/s: Yang ada akaun Yahoo, yang guna akaun Yahoo tu... Baik blah awal-awal sebelum jadi macam saya ni... Geram betul la... 


Thursday, 4 July 2013

Musim Exam....


Baru 2 subjek dah lepas... tapi ada lagi 4 subjek yang perlu dihabiskan untuk semester ini... sekali lagi semalam lepas habis exam tu buka lah laptop nak check email dan facebook kan... sekali lagi hati ini berasa gembira dengan email dari seseorang ini... 


dulu pernah sekali dah ditanya samada sudi ke tak untuk menjalani proses penilaian penerbitan manuskrip Seindah Cintamu... tapi disebabkan kekangan masa ditambah pula dengan musim exam ni, saya masih tidak mempunyai masa untuk meneliti Seindah Cintamu... 

P/s: maafkan saya ya para pembaca... selepas exam ni, mungkin akan ada masa yang cukup untuk saya....