Sunday 12 May 2013

Seindah Cintamu





Bab 27

SURAT balasan dari adiknya Sarah selepas berbelas tahun baru dapat dia bertanyakan khabar dibaca dengan perasaan sebak dan terharu, setelah sekian lama hubungan ini terpisah tapi air yang dicincang tidak akan putus.
Ternyata telahannya benar belaka bahawa Sarah mendapat kehidupan yang selesa dan bahagia bersama Mak Leha dan Pak Dolah. Tersenyum Julia sendirian membaca surat adiknya lebih banyak menceritakan kehidupan selepas bergelar isteri. Ternyata adiknya juga telah menamatkan zaman bujangnya bersama orang yang dicintai.
Di hujung surat tersebut adiknya menyertakan nombor telefon agar dia senang dihubungi selalu. Mengetahui keadaannya adiknya kini sedikit sebanyak mengundang rasa bahagia yang tidak terhingga dalam diri Julia.
Ingin sekali dia bertemu muka bertentang mata dengan adiknya dan melihat pasangannya sambil itu Julia juga mahu memperkenalkan Johan pada Mak Leha dan Pak Dolah.
Johan yang hanya melihat perbuatan Julia turut tersenyum dalam diam dan dia gembira andai Julia gembira. Dia turut mengupah penyiasat persendirian untuk mengetahui di manakah adik iparnya berada.
Segala maklumat mengenai adik iparnya Sarah Farhana disampaikan oleh penyiasat persendiriannya. Andai ada masa yang sesuai dia akan menemukan dua beradik yang lama terpisah itu, pasti ada bunga yang berkembang seri pada saat itu.
Dan sudah sampai masanya untuk dia menjelaskan segala rahsia dan penipuan ini kepada semua orang terutama kepada papa, mama, Mak Mah, Pak Din dan Julia.
Sedang Johan duduk termenung di ruang tamu, Julia datang menyertainya di sofa itu sambil menunjukkan gambar adiknya yang terkini.
“Abang, nak kenal tak dengan adik Ju, nama dia Sarah. Ju mintak dia hantar gambar dia sekali. Bila dah tahu nombor telefon ni nanti lagi senang nak telefon diorang.” Johan mengambil gambar itu dari tangan Julia dan meneliti gambar itu. Wajah mereka yang tidak seiras itu boleh disalah ertikan sebagai bukan adik beradik andai mereka berdua berada berdekatan.
“Lain muka tapi cantik.” Johan masih meneliti gambar itu.
“Tulah dulukan, arwah ayah selalu cakap wajah Ju ni, arwah ibu ambil semua ikut dia. Hahaha. Tapi bila adik lahir pulak, arwah ibu cakap yang arwah ayah pulak ambil semua ikut dia. Tu yang jadi memang tak sama langsung.” Julia turut melihat paras jelita adiknya dalam gambar tersebut.
“Sekarang ni dah dapat nombor telefon ni lagi senang kan abang kan. Boleh hari-hari tanya khabar adik, Mak Leha dengan Pak Dolah.” Julia sudah tersenyum sorang-sorang sedangkan Johan menahan perasaan untuk berterus terang.
Dapatkah Julia menerima dirinya seadanya. Atau samakah Julia seperti perempuan di luar sana yang hanya mengejar dirinya kerana harta dan rupanya? Keyakinan Johan semakin hari semakin meluntur kerana takutkan kehilangan Julia.


JULIA hanya bersendirian di pejabat kerana dia sentiasa menjadi pekerja yang pertama datang ke pejabat setiap hari. Sudah menjadi amalan rutin agar setiap detik setiap saat dipenuhi dengan perkara yang berguna.
Dia sentiasa mengingati pesanan pensyarahnya, ‘Saya bukan tak suka kalau pelajar saya datang lambat tapi jangan jadikan amalan begitu sebagai rutin. Yang lelaki terutamanya haruslah beringat, suatu hari nanti kamu semua nak jadi suami mungkin juga bakal jadi seorang ayah. Jagalah masa, gunalah masa dengan perkara yang betul. Sebab setiap saat yang kita kerjakan ni sebagai rezeki, nak ke kita bagi rezeki yang tidak halal kepada keluarga kita? Jangan fikirkan buat kerja tak elok je baru dapat rezeki tak halal. Cuba fikir kalau datang kerja lambat, buat kerja tak bersemangat, akhir bulan dapat gaji bagi anak isteri makan, berkat ke?’
Kata-kata itulah menjadi motivasi kepada diri Julia agar dia mendapat rezeki yang halal dan penuh keberkatan.
Kerana masih belum ada yang datang walaupun jam sudah menunjukkan pukul 8.05 pagi, Julia bangun dari kerusinya dan menuju ke pantry. Minum secawan milo pun boleh memberikan dia tenaga untuk bekerja separuh hari sebelum tiba waktu rehat tengah hari.
Dari jauh Julia boleh mendengar hentakan kasut yang menuju ke pantry, dan tertanya-tanya siapakah gerangan yang turut datang awal ke pejabat. Rupa-rupanya hentakan kasut tersebut adalah milik Fika sambil senyuman sinis di wajahnya.
“Awalnya kau datang, kalau bos ada mesti dia suka kat kau kan.” Sindiran atau pujian, akal Julia menimbang kata-kata Fika itu.
“Dia yang bayar gaji kita, mestilah dia suka kalau pekerja dia tepati masa.” Balas Julia tanpa niat untuk menyakiti hati sesiapa.
Fika tersenyum lagi, “Kau baru kerja kat sini. Kau kerja pun tak sampai 4 bulan lagi. Jangan nak berlagak sangat dengan aku, jangan ingat bila semua orang sukakan kau, kau boleh naik tocang.”
“Saya tak rasa semua sukakan saya, contohnya Cik Fika sendiri salah seorang daripadanya.” Julia kembali berfikir waras, ‘Sejak bila mulut aku jadi tak tahan gini…’ Hatinya mula berbisik.
Memerah muka Fika mendengar ayat pedas dari Julia. Memang perempuan di hadapannya ini belum kenal dirinya siapa. “Hahaha. Kau memang pandai meneka. Memang aku tidak sukakan kau dari hari pertama lagi kau masuk kerja di sini. Tapi aku rasa aku tetap menang di sini sebab kau bukan lawan aku.”
“Cik Fika, saya rasa ada kecelaruan di sini. Saya datang memohon dan dapat peluang untuk bekerja di sini bukanlah untuk menjadi lawan kepada Cik Fika. Saya di panggil untuk ditemuduga…” Tak sempat Julia menghabiskan ayatnya, dia terdiam bila merasakan pipinya terasa pedih.
“Cik Fika…” Bergetar suara Julia sambil memegang pipinya. Setelah sekian lama pipinya ditampar tanpa sebab munasabah.
“Cik Fika tiada hak untuk menampar wajah saya. Apa yang saya dah lakukan pada Cik Fika sampai Cik Fika membenci saya sebegini…” Suara Julia semakin meninggi. Tidak pernah sebelum ini dia meninggikan suara kepada sesiapa sahaja. Fika telah melebihi hadnya bagi fikiran Julia.
Fika sendiri terdiam dengan tindakan cepatnya yang bertindak menampar pipi Julia. Dia gementar jika Julia bertindak untuk menyamannya.
“Mulut… kau tu terlalu bising… Lepas ni kau jangan nak lawan cakap aku lagi…” Fika juga meninggikan suaranya. Dia cuba untuk membuatkan Julia untuk tidak menghebohkan hal itu kepada sesiapa.
“Kalau kau berani nak bagi tahu pada orang lain, lebih dari ini aku boleh buat!!!” Ugut fika dan dia terus berlalu pergi.
Julia hanya memandang bayangan tubuh Fika dan dirinya menghimpun segala rasa. Marah, sedih, terluka bercampur dalam dirinya dan menjadikannya seorang yang pendiam dan emosional pada hari itu.
Julia tidak mahu lagi dirinya dipijak-pijak dengan perasaan beralah. Semua kerja dilakukan dengan tidak betul sedangkan baru pagi tadi kata-kata pensyarahnya menyinggah di benak fikirannya.
Mardhiyah hanya memerhati dari jauh melihatkan perubahan pada diri Julia. Dia dapat mengagak sesuatu telah berlaku cuma bila dia bertanyakan kepada Julia, Julia hanya mendiamkan diri dan membuat kerjanya.


HARI ini Johan kembali menyepahkan rumah dengan majalah-majalah dan suratkhabar. Rumah yang dahulunya tampak luas kini seperti tempat pelupusan sampah. Dia hanya menunggu kepulangan Julia untuk melihat reaksi Julia dengan keadaan rumah mereka.
Dia tersenyum lagi dan sekiranya Julia dapat melepasi ujian hari ini, dia akan berterus terang kepada Julia. Malahan dia juga telah menempah tiket kapal terbang pada malam itu juga untuk terbang ke United Kingdom untuk membawa Julia kepada kedua orang tuanya.
Julia pulang ke rumah dengan hati membengkak kepada Fika, dia baru bekerja di situ tapi kesabarannya telah diuji sebegini rupa. Siapa pun Fika dalam syarikat itu, apa pun jawatan Fika dalam syarikat itu, Fika tiada hak untuk menyakiti anggota tubuh badannya. Itulah yang difikirkan oleh Julia sepanjang perjalanan dia pulang ke kondominium suaminya.
Pengalaman disakiti dan menyakitkan dalam hidupnya kembali bermain di benak fikirannya. Dia tidak mahu dirinya dipijak-pijak lagi seolah-olah dia tidak berperasaan.
Saat dia membuka pintu rumahnya, dia terkaku seketika sebelum lava gunung berapi mahu meletup.
“Abang!!!” Johan yang tersengih menyambutnya di muka pintu terdiam mendengarkan suara Julia yang meninggi. Julia menggenggam kedua tangannya apabila kesabarannya memang sudah tiada untuk saat itu.
“Kenapa dengan rumah ni???” Beg yang tergalas di bahu melurut jatuh ke sisi. Johan kembali tersengih memandang Julia.
“Abang saja nak main-mainkan Ju…”
“Abang nak main-mainkan Ju???!!! Ju balik penat-penat dari kerja lepas tu tengok rumah bersepah macam ni… Lepas tu abang buat muka tak bersalah…. Ju faham kalau abang kata abang tak sihat… Tapi takkan setiap hari nak kena buat benda yang serupa berulang kali… Ju bukan orang gaji untuk semua orang, kenapa semua orang tak pernah nak berpuas hati dengan Ju???” Apa yang ingin Julia luahkan, dia luahkan segalanya di hadapan Johan yang terdiam dan terkedu.
Segala-galanya Julia memuntahkan di hadapan Johan. Sakit dengan kenangan sejarah hidupnya bersama keluarga Mak Long, sakit dengan peristiwa di pejabat tadi dan sedih dengan keadaan Johan yang mungkin tidak dapat memahami kekosongan dan kesedihan hatinya.
“Berapa lama lagi untuk Ju rasa hidup sebagai seorang manusia, abang???” Johan hanya terdiam kerana dia tidak pernah melihat Julia sebegini.
‘Bukan salah Johan kalau dia naik marah pada hari ini, tapi kenapa dia harus luahkan segala kemarahan yang terpendam itu kepada Johan. Bukan niat dia untuk menjadi isteri yang nusyuz kerana meninggikan suaranya kepada seorang suami.’ Hatinya cuba berbisik mengembalikan semangat Julia yang hampir runtuh.
“Kenapa hari ini Ju tidak dapat bertahan lagi?” Suara Julia mula mengendur dan berakhir dengan esakan.
“Abang…” Johan mula mahu bersuara.
“Diam. Ju tak nak lagi sebarang alasan.” Julia semakin lupa dengan keadaan Johan.
“Abang…” Johan sebenarnya mahu berterus terang kepada Julia tapi dia langsung tidak menyangka pipinya akan ditampar bila dia mahu bersuara.
“Ju kata Ju tak nak dengar sebarang bunyi lagi.”
Semakin sedih hati Julia kerana bukan niatnya juga untuk menampar pipi Johan tapi dia tidak mahu mendengar sebarang suara agar dirinya kembali pulih dari perasaan sedih yang terhimpun.
Johan yang terluka dengan perbuatan Julia terus menguncikan dirinya di dalam bilik. Dia merasakan segala telahannya salah selama ini. Julia sebenarnya sama sahaja dengan perempuan lain yang tidak mungkin selamanya dapat bertahan.



sila lah klik di sini... 

Monday 6 May 2013

Seindah Cintamu





Bab 26

KINI sudah genap 3 bulan Julia bekerja di syarikat Johan. Ketika itu juga Johan mula berasa kebosanan apabila Julia meninggalkannya sendirian di rumah. Tiada apa yang dapat menarik perhatiannya di rumah itu melainkan apabila hampir dengan habis waktu pejabat, dia mula menyepahkan keadaan rumah. Dia ingin melihat sejauh mana Julia mampu bersabar dengannya.
          Johan menunggu dan terus menunggu sambil memerhati keadaan rumah yang tidak kemas dan berbau busuk itu. Sambil itu, dia menjeling ke arah pintu utama menantikan wajah kesayangannya.
          ‘Kalau aku sayangkan dia, kenapa aku buat macam ni?’ soal hati Johan. Persoalan yang dia sendiri tidak tahu akan jawapannya.
          Julia yang pulang kepenatan bekerja terkaku melihat rumah yang bersepah dan tidak berkemas. Sejak akhir-akhir ini, dia semakin tertekan dengan tugasnya di pejabat dan tingkah laku Johan yang semakin meregut kesabarannya saban hari.
          Sudahlah di pejabat dia ditekan dari kiri dan kanan, di rumah pula Johan pula membuat perangai. Sabar yang ditahan dari pejabat kini semakin menipis.
          “Kenapa bersepah ni abang?” Julia menarik nafas perlahan-lahan. Dia meletakkan beg kerjanya dan terus masuk ke dapur. Dia meneguk segelas air untuk melegakan perasaannya sebelum mencapai penyapu yang diletakkan di belakang pintu. Penat bekerja seharian bergabung dengan penat mengemas rumah.
          Julia terhenti menyapu bila melihat bekas air milo yang tertumpah sudah kering dan melekit. “Abang buat air milo ke tadi?” Julia masuk semula ke dapur dan mengambil cebisan kain kotor dan baldi kecil. Dia mula mengelap lantai dan membersihkan bekas air mula berbau itu.
          “Erm…” Itu sahaja yang keluar dari mulut Johan yang sedang tekun melihat tv. Julia yang semakin kesabarannya menipis itu terus menutup tv dan berdiri di hadapan Johan.
          “Abang… Jawab leklok tak boleh ke? Mulut ada tapi tak berbunyi. Ni rumah ni kenapa bersepah macam ni? Abang kan tak baca suratkhabar, macam mana boleh bersepah ni? Ju letak elok-elok dalam bakul tu, kenapa abang keluarkan?”
          “Abang bosan. Abang lapar.” Johan menundukkan wajahnya dari memandang anak mata Julia. Dia tak mampu untuk melihat wajah penat dan amarah isterinya apabila dia berbuat demikian. Kalaulah adiknya Dr. Fazlin tahu akan hal ini, mahu berbirat telinganya di pulas oleh adiknya.
          “Haihhh….” Julia hanya memandang Johan yang seakan menikus melihat dia sedang marah. Julia duduk berlutut di hadapan Johan seakan ingin memujuk.
          “Ju masakkan makanan untuk abang.” Julia memegang kepala lutut suaminya dan terus bangun menuju ke dapur. Dia menyimpan penyapu dan membuka peti sejuk untuk mengeluarkan bahan-bahan untuk dimasak.
Nasi putih yang ditanak pagi tadi dipanaskan kembali. Sudah menjadi rutin sebelum pergi kerja, dia akan memasak nasi agar mencepatkan kerjanya untuk memasak apabila pulang dari kerja. Dia tidak seperti isteri-isteri yang bekerja dan hanya lebih gemar untuk membeli makanan di luar. Penat macam mana sekalipun, dia akan tetap memasak sedikit makanan untuk Johan.
          Sedang dia memotong bawang, airmata yang ditahan, menitis jua. Perlahan-lahan mengalir di pipinya. Kejadian di pejabat kembali menjengah di fikiran.

JULIA!!! Kalau begini kerja kau, baik kau tak payah bekerja. Pergi duduk rumah jaga anak.” Terus dia dimaki tanpa dia mengetahui apakah kesalahannya. Mardhiyah turut bangkit dari mejanya dan mendapatkan Julia. Julia mengusap mukanya yang sakit akibat lemparan kertas dari Hazmi.
          “Hazmi, perlu ke kau menengking begitu pada Julia?” Mardhiyah menolong Julia yang sedang memungut segala kertas yang dilemparkan pada Julia.
          “Perlu!!! Sebab dia ni bodoh tak boleh nak diajar. Berapa kali aku ajar pun tetap buat benda yang sama.” Boleh dikatakan suara Hazmi tu satu department boleh mendengarnya tanpa perlu memakai pembesar suara.
          “Hazmi, cakap elok-elok tak boleh ke?” Mardhiyah meneliti setiap helaian report yang dikutipnya tadi. Julia hanya mendiamkan diri menahan malu apabila ramainya mengintai untuk mengetahui apa yang sedang berlaku itu.
          “Hei, ni kerja kau kan!!! Kenapa kau suruh Julia yang buat?” Mardhiyah pula meninggikan suaranya.
          “Itu memang kerja Hazmi, Mardhiyah. Tapi saya mahu Julia yang buatkan kerja itu bagi pihak Hazmi. Saya berkuasa untuk menyuruh sesiapa yang saya hendakki, bukan? Dan perempuan ni yang saya arahkan dia untuk menyiapkan laporan tu.” Suara perempuan yang sinis dari belakang Mardhiyah.
          “Cik Fika. Tapi sepatutnya Hazmi yang buatkan…”
          “Mardhiyah, seeloknya awak tidak mencampuri segala urusan saya di sini. Lebih baik awak pergi buat kerja awak. Awak jangan ingat suami awak pernah rapat dengan bos, saya tidak boleh pecat awak.” Fika terus memotong kata-kata Mardhiyah.
          “Cik Fika, saya tidak menumpang untuk bekerja di sini di atas tiket keakraban suami saya dengan bos. Tapi perbuatan Cik Fika ni bagi saya tidak professional apabila membuli pekerja perempuan yang Cik Fika tidak suka. Sekalipun Cik Fika mempunyai jawatan yang lebih tinggi dari saya, tapi Cik Fika tidak berkuasa untuk memecat saya mahupun pekerja lain.
Ini adalah arahan dari Dr. Fazlin sendiri. Sekalipun Dr. Fazlin tidak mencampuri urusan syarikat ini, Cik Fika tetap tidak berkuasa untuk memecat sesiapa pun dalam syarikat ini.” Mardhiyah hanya berkata dengan tenang dan suaranya berbunyi tegas.
          Memerah muka Fika menahan marah terhadap Mardhiyah. “Do you know who am I??!! I am Datuk Khalid’s daughter, my father’s company has partnership with this company. Of course I ada kuasa dalam syarikat ni. I sendiri sangat rapat dengan Puan Sri dan kalau dengan si Faz tu, dia takkan menang jugak kalau Puan Sri sebelahkan I. I adalah calon untuk bakal isteri bos korang. You should show me a respect!!! Kau, jangan ingat ada orang backup kau kuat!!!” Melengking suara Fika menuding jarinya ke muka Julia dan dia terus berlalu pergi.
Entah kenapa dia tidak menyukai kehadiran Julia di syarikat itu. Kecantikan Julia yang menjadi buah mulut pekerja-pekerja lelaki sedikit sebanyak membuatkan hatinya berasa cemburu dan dia inginkan perhatian sebegitu juga. Sekalipun Julia tidak pernah melayan gurau senda pekerja-pekerja lelaki yang gemar mengusiknya, dia tetap berasa Julia tidak selayaknya dilayan sebegitu.
          Julia mengurut dada mendengar suara Fika yang begitu kuat. Hazmi hanya berdiam diri dan Mardhiyah tidak menunggu masa yang lama untuk menghentam Hazmi pula lepas tu.
“Pergi kau pujuk puan bos kesayangan kau tu. Pergi jilat dan sapu najis dia kat tangan kau tu. Memang kata-kata aku ni kasar, tapi kau kena sedar sikit bila bos dah kembali nanti, segala perbuatan kau bukan sorang yang akan laporkan pada bos. Kau patut ingat tu Hazmi.” Mardhiyah mencerlung ke arah mata Hazmi. Hazmi terus mengambil laporan itu dari tangan Julia dan berlalu pergi.
          “Julia, sambung buat kerja kau. Diorang tu memang.” Mardhiyah mengurut lembut bahu Julia. Julia hanya memandang ke arah mata-matanya yang sejak tadi hanya menjadi pemerhati. Dia hanya duduk perlahan di kerusinya dan apa yang terjadi sebentar tadi tu sebenarnya mengembalikan memori yang hampir terpadam semenjak dia menikah dengan Johan.

ADA tangan yang sedang memeluknya dari belakang sekaligus mengembalikannya kea lam realiti. “Kenapa nangis? Marah kat abang ke?” Terasa sangat kebudak-budakan dari nada suara suamiku.
          “Bukanlah, pedih potong bawang ni. Abang ni kan kalau peluk macam ni selalu Ju suka sangat. Rasa tenang je dalam pelukan abang. Rasa selamat.” Perlahan aku berkata begitu. Entah faham atau tidak, Johan hanya semakin mengeratkan pelukannya di tubuh Julia. Johan tahu apa yang telah berlaku di pejabat tadi.
          Rusdi telah menyampaikan segala cerita kepadanya dan dia turut mengena hentaman dari Rusdi apabila dia hanya berdiam di telefon tanpa sebarang respon.
          “Esok cuti pergi kubur nak?” Tanya Johan perlahan di belakang Julia. Tangan Julia yang kembali memotong bawang itu terhenti bila mendengarkan cadangan dari Johan. Terus dia tersenyum dan mengangguk.
“Erm, abang pergi tengok Conan dulu. Julia nak goreng ayam ni. Abang suka makan ayam goreng kan. Nanti dah siap Ju panggil, kita makan.” Dia meleraikan pelukan Johan di pinggangnya. Jika dahulu, dia sangat geli apabila orang memeluknya atau mencuit di pinggangnya tapi apabila Johan memeluknya dia tidak berasa geli malah dadanya berasa berdebar untuk menunggu perbuatan Johan seterusnya.
Bila Johan pergi meninggalkannya sendirian di dapur, barulah dia menarik nafas lega dan memikirkan sudah lama dia tidak dilayan dengan buruk. Dia sangat bersyukur dengan keadaan begitu dan kembali tersenyum.
‘Lemahkah aku apabila gembira dengan bahagia yang tidak seberapa ini? Apa-apa pun aku tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk merasa apa tu makna ketenangan.’ Bisik hati Julia.

MESEJ yang dihantar kepada adiknya Dr. Fazlin terus mendapat respon segera dan balasannya hanyalah, “SI FIKA TU AWAS.” Nak tergelak dia baca mesej adiknya. Memang sejak kecil lagi Faz tidak mesra dengan Fika dan di mana lebihnya Fika pun dia tidak tahu apabila mamanya beria membela Fika dan akan menyalahkan Dr. Fazlin walaupun bukan dari kesalahannya. Sebab itulah adiknya Dr. Fazlin tidak mesra dan selalu memerli mamanya dengan kata-kata yang pedas.
          Kalau nak di ikutkan kepentingan syarikat, sepatutnya papalah orang yang akan beria-ia untuk menjodohkan Johan dengan Fika tapi dalam hal ini menjadi terbalik pula. Tan Sri Nazirul Fadli tidaklah terlalu mengongkong setiap pilihan anak-anaknya.


sila lah klik di sini...