Sunday 20 October 2013

Seindah Cintamu




Bab 36
                            

BILA projek tersebut sudah dimulakan pembinaannya, terdapat banyak juga kesilapan kecil dalam lukisan pembinaan yang memerlukan kehadiran Johan dan jurutera yang terlibat untuk membincangkan perkara tersebut pada mesyuarat tapak yang akan diadakan sekali untuk sebulan.
          Mesyuarat tapak kebiasaannya dihadiri oleh wakil klien tertinggi, wakil kontraktor utama dan wakil sub-sub kontraktor untuk membincangkan unjuran kewangan dan peratus fizikal yang ada di tapak pembinaan. Oleh kerana projek ini bakal menelan bajet modal yang besar, Johan sendiri akan menghadirkan diri di mesyuarat tapak itu.
          Setiap kali mereka membincangkan kesilapan yang terdapat dalam lukisan, kehadiran Johan dan jurutera yang telah dilantik oleh Johan adalah sangat penting untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini pada masa akan datang.
Oleh kerana setiap kali kesilapan di tapak pembinaan akan dibetulkan, setiap kali itu juga tuntutan kewangan akan dihantar untuk disemak dan diluluskan. Hal ini menyebabkan kehadiran Julia turut sama penting untuk meneliti perkara berkaitan dengan kewangan projek untuk menyamakan paras proses perjalanan tapak pembinaan.
Johan tidak akan berenggang sesaat pun dengan Julia setiap kali mereka hadir ke tapak itu kerana dia tidak mahu memberi peluang untuk Azman cuba mendekati Julia.
“So, Encik Johan peratus fizikal masih ahead 1.18 peratus. Delay kita pun tak banyak mana sebab biasanya macam sekarang nilah. Kita delay awal bulan tapi biasanya kita dapat catch up balik di akhir bulan, then kita ahead semula.” Terang Azman selaku pengurus tapak kepada Johan.
Julia hanya menganggukkan kepalanya sahaja mendengarkan penerangan dari Azman. Sedikit sebanyak dia turut belajar tentang ilmu-ilmu di tapak pembinaan. Tidaklah dia hanya tahu membuat kira-kira tentan pengurusan kewangan semata-mata.
“Kalau macam tu, untuk sebarang urusan di tapak ni, Encik Azman berurusan dengan jurutera saya, ada perkara juga yang boleh berunding terus dengan saya.” Johan melihat jam tangannya.
“Kalau macam tu saya balik dululah. Encik Azman, Selepas ini, saya akan hantar seorang juruteknik dari syarikat saya untuk turut memantau di tapak ni. Bilik kabin tu saya akan upah orang buat di sebalah bilik kabin Encik Azman. Kat situ masih ada ruang lagi kan?” Tanya Johan untuk memastikan perkara itu.
Setiap projek perlukan sekurang-kurangnya seorang pemantau tetap dari klien utama. Hal ini kerana jurutera hanyalah datang memantau ketika untuk membuat inspection setiap kali pemasangan besi atau bancuhan simen konkrit.
“A’ah, kat situ ada sikit tanah lebih kalau nak buatkan sebuah bilik kabin yang kecil. Encik Johan, juruteknik tu akan datang untuk hari apa saja?” Tanya Azman.
Kalaulah Azman mengetahui tentang hubungan antara Johan dan Julia, entah apa pula reaksinya kerana sehingga kini dia masih belum mengenali siapakah gerangan suami Julia.
Selepas Julia berkahwin dan berpindah keluar dari rumah maknya, tidak sekalipun Julia datang menjenguk mereka sekeluarga. Bukannya sombong dan tidak mengingat budi kerana membesarkannya tetapi dia tidak mahu dicerca lagi oleh darah dagingnya sendiri.
“Saya biasanya setiap kali keluarkan tender, setiap projek saya akan hantar seorang pekerja saya untuk jadi mata-mata saya di tapak. Takpelah Encik Azman, saya balik dululah. Jom Julia, kita balik.” Bila Johan membuka mulut dan berterus-terang dengan apa yang dia fikirkan.
Pipi Azman seperti ditampar-tampar kerana dari cakap Johan itu, seperti Johan tidak mempercayainya sebagai pengurus tapak di situ. Julia hanya bertindak mengikut setiap arahan dan keputusan dari Johan. Tiada peluang langsung untuk Azman menegur Julia.


JOHAN hanya memandu dengan diam sahaja. Tiada perbualan yang berlaku di antara Julia dan Johan. Tiada topic yang menarik untuk memulakan perbualan antara kedua-duanya. Hanya bunyi suara DJ radio yang Johan kuatkan nadanya hingga paras 10 sahaja. Bunyinya seperti dengar tak dengar sahaja.
          “Azman tu tak kenal pun suami saya, Encik Johan.” Julia memulakan perbualan untuk mengingatkan semula kepada Johan. Azman pernah memarahi Mak Longnya selepas berlangsungnya majlis akad nikah mereka di masjid. Mujurlah Azman hanya tiba selepas mereka sudah pulang dari masjid. Kalau tidak entah kecohan yang dia buat di masjid pun Julia tidak dapat mengagaknya.
          “Hah?? Apa awak cakap? Dia tak kenal suami awak ke?” Johan yang sedang memandu berpaling sekejap ke arah Julia dan memandang semula ke hadapan.
          ‘Dia takde ke masa aku kahwin dengan Julia hari tu? Lama dah, aku sendiri tak ingat mana dah.’ Bisik hati Johan.
          “Dia tak sempat balik masa majlis akad nikah tu. Adik ipar saya je yang sempat kenal dengan dia masa angkat barang pindah rumah.” Cerita Julia lagi.
          “Oh… macam tu.”
          ‘Padan pun Azman tu tak cam aku pun. A’ah, mana aku ada tolong masa angkat barang Julia pindah masuk ke rumah Mak Mah. Erm… Barang Julia pun masih ada banyak kat rumah Mak Mah. Hari tu datang sini rasanya Julia bawak beg pakaian saja. Yang lain-lain tu tinggal belaka kat rumah Mak Mah.’ Monolog hati Johan sendirian.
          “Encik Johan…… Saya ada benda nak tanya terus-terang dari encik.” Julia menarik nafas panjang sebelum menyambungkan ayatnya yang seterusnya.
          “Apa dia?” Tanya Johan pula.
          “Encik Johan memang langsung tak ingat ke apa yang pernah terjadi dulu masa encik sakit tu? Adik ipar saya pernah cakap kat saya sepatutnya orang yang hilang ingatan bila dia sudah ingat balik tak begini.” Perlahan sahaja suara Julia sambil memejamkan mata.
          “Erm… Saya ingat setiap apa yang berlaku masa saya sakit tu. Macam-macam perkara yang saya alami waktu tu.”
          “Dah tu encik ingat tak yang encik pernah ka…. Kah…. Kahwin?” Tergagap Julia untuk menyebut habis ayatnya.
          Lama Johan mendiamkan diri. Tiada sambutan atau balasan dari persoalan Julia tadi. Julia yang bertanya pun turut terdiam di tempat sebelah pemandu bila melihat Johan hanya sepi sahaja.
Johan selamat memarkingkan keretanya di parking rezabnya di bawah basement syarikatnya. Selepas mematikan enjin, Julia masih membatu di sebelah pemandu begitu juga dengan Johan.
“Saya pun ada perkara yang nak dibincangkan dengan awak.” Johan memegang pada stereng kereta. Wajah Johan hanya serius memandang ke hadapan. Julia pula sudah berdengup kencang dalam situasi itu. Tidak sabar dia nak mendengar ayat seterusnya.
“Bukan tak percayakan awak, tapi ini adalah keputusan saya dan Rusdi. Saya telah panggil Fika kembali bekerja dengan saya, dan saya akan letakkan dia sebagai penolong awak. Harap awak berdua boleh bekerjasama untuk projek hotel tu.” Habis sahaja ayat itu, Johan terus keluar dari kereta membuatkan Julia kecewa sendiri. Bukan itu yang dia mahu dengar. Bukan yang itu. Hampa sehampa-hampanya perasaannya tika itu.
Johan mengetuk cermin kereta menginsyaratkan agar Julia keluar kerana dia mahu mengunci keretanya. Alarm terus ditekan selepas Julia keluar dari kereta itu. Julia hanya kaku di tepi kereta sementelah Johan sudah berlalu meninggalkan tempat parking kereta itu.


PEJABAT sedang kecoh semasa Julia masuk kembali ke pejabat. Masing-masing sibuk membincangkan baju untuk sesuatu event yang Julia tidak jelas tentangnya.
          “Cik Julia baru balik dari tapak ke?” Tegur seorang pekerja perempuan yang mejanya betul-betul di hadapan laluan masuk ke bahagian pengurusan kewangan syarikat.
          “A’ah.” Julia tersenyum kepadanya dan memandang ke arah beberapa orang pekerja perempuan yang sedang berkerumun di sebuah meja.
          “Kenapa kecoh sangat ni?” Tanya Julia sambil tersenyum kepada seorang pekerja perempuan bahagian pengurusan kewangan yang sedang berada di meja itu.
“Tarikh hari keluarga sudah dikeluarkan, Cik Julia. Biasanya syarikat akan buat macam pergi bercuti, pastu adalah apa-apa permainan kat sana tu dan malam tu akan dinner syarikat.
Semua orang memang akan joinlah sebab masa tulah boleh kenal dari bahagian lain… Errr…. Boleh santai sama-sama. Tapi untuk yang induk ni sajalah sebab biasanya cawangan kecik diorang buat masa lain. Tak boleh mana nak buat serentak ni, nanti bajet tak cukup pulak. Hehehe.” Terang pekerja itu. Beberapa orang pekerja lain turut tergelak sama.
          “Oh, yeke? Ni kira first time saya akan join nanti. Bila tarikhnya? Kat mana tempatnya?” Tanya Julia lagi.
          “Tarikh masa kita pergi nanti 10hb Julai sampai kita balik pulak pada 12hb Julai. Cik Julia, ni aturcara program itu untuk hari keluarga tu.” Hulur lagi seorang pekerja perempuan yang turut berada di situ. Julia membelek-belek aturcara ditangannya itu.
          “Tempat tu tak tahu lagi sebabnya ada banyak pilihan. Kalau ikutkan cadangan yang masa awal tahun dulu tu, nak buat kat Cherating, Pahang. Kalau jadilah, atau mesti jadilah sebab tentative program ni semua dah dipadankan dengan tempat Cherating tu. Macam bola sepak tepi pantai ni. Cuma tempat nak tidur je tu kena pilih antara tiga resort yang bersesuaian.” Jelas pekerja perempuan tadi.
          “Pekerja ramai macam ni, boleh ke nak tampung semua?” Tanya Julia lagi.
Setahunya pekerja di di cawangan induk sahaja sudah hampir tiga ratus orang pekerja. Mesti banyak wang yang akan diperuntukkan untuk hari keluarga itu. Setiap tingkat bilangan pekerja telah dihadkan supaya tidak melebihi dari dua puluh orang.
Sebab itulah, syarikat ini mempunyai berbelas-belas tingkat tingginya. Keluasan pejabat sangat penting untuk keselesaan bekerja yang kondusif.
          “Biasanya dari awal tahun lagi meeting dah dibuat untuk bincangkan pasal hari keluarga company ni, Cik Julia. Tapi macam dua tahun lepas kan, sebab masa tu Encik Johan ada lagi jadi pengurus syarikat, semua bajet ditanggung oleh syarikat sendiri.
Macam tahun lepas pulak, bajet kita macam tak cukup mana hari keluarga company tetap berjalan tapi pekerja kenalah keluarkan duit sendiri sikit. Kalau bajet dalam RM300 seorang, mungkin seorang hanya bayar dalam RM100 saja ke. Ikut kepada bajet yang telah dibuat oleh penilai syarikat.” Jelas pekerja perempuan tadi tu dengan lebih detail.
“Ni tema untuk apa pulak?” Julia menunjukkan suatu perkataan yang dia tidak faham apakah maksud itu.
“Casablanca Party???” Berkerut juga dahi pekerja perempuan itu. Dia sendiri tidak mengetahui apakah maksud tema itu.
“Entahlah Cik Julia, saya pun tak tahu tema jenis apa ni? Macam pelik jugak bunyinya ni. Jangan yang susah-susah sudahlah.” Tergelak halus pekerja perempuan itu bersama rakan-rakannya tadi.
“Kenapalah kalau susah pun, ada kesan lain ke?” Tanya Julia sambil turut ketawa bersama anak buahnya itu.
“Mestilah Cik Julia, susah nak cari bajulah nanti nak padankan dengan tema. Cik Julia baru pertama kali nak join kan? Tengoklah nanti gelagat-gelagat pekerja yang tua-tua ni, mengalahkan orang muda diorang punya pakaian ni Cik Julia nak tahu.”
Pekerja perempuan tersebut memperlahankan suaranya semasa menyebut soal gelagat pekerja yang berusia itu. Kemudian mereka ketawa beramai-ramai termasuklah Julia sekali.

6 comments:

  1. =) ~thanks cik writer

    ReplyDelete
  2. terima kasih...bagi la n3 terbaru cepat2 ya x sabar nak baca..

    ReplyDelete
  3. best.....nak lagi kenapa dng johan tu...

    ReplyDelete
  4. Thks nice to read. Kesian julia ...sanggup Johan permainkan perasaan ju. Bila nxt n3. Harap novel ini dpt di bukukan dgn cepat. Bye

    ReplyDelete
  5. Johan nak buat surprise masa family day co ke? Kalau buat dono je kat nanti Julia lari baru tau. Dulu Johan yang lari...

    ReplyDelete
  6. Tq cik writer, Johan tu nape? Buat z layan je Julia....sakit plak aty kita ni..

    ReplyDelete