Wednesday 26 June 2013

Seindah Cintamu





Bab 28

JULIA masih mengetuk pintu bilik Johan yang berkunci. Perasaan bersalah semakin menebal dalam dirinya.
          “Abang, tolonglah buka pintu ni. Ju mintak maaf, mintak ampun, abang. Bukan niat Ju, abang.” Teresak-esak Julia menangis di hadapan pintu bilik Johan. Johan masih tidak membalas dan hanya mendiamkan diri di dalam bilik.
          Suara Julia yang merayu-rayu agar dia keluar dari bilik itu sedikit sebanyak meruntuhkan benteng pertahanan perasaannya. Johan masih berdiam diri dan menunggu jawapan adiknya.
          Johan telah membuat keputusan, Julia akan ditinggalkan bersendirian di Malaysia dan dia akan bersendirian terbang ke UK pada malam itu juga. Sedih dengan keputusan yang dibuat, tapi hubungan suami isteri mereka, dia akan tentukan kemudian sama ada perlukah hubungan itu diteruskan atau dihentikan pada saat yang sesuai.
          Apa yang dia sedang fikirkan, semudah itukah dia mahu melepaskan Julia dari sisinya sedangkan Julia adalah cinta pertama yang selalu didoakan agar menjadi cinta terakhir buat dirinya.
          Julia yang masih merayu-rayu agar Johan keluar dari biliknya terdengar bunyi loceng rumahnya. Dia mengesat airmata dan terus membuka pintu untuk melihat gerangan tetamu yang datang malam-malam hari.
          “Faz….” Julia kembali bergenang airmata. Untuk apa kehadiran adik iparnya pada malam itu di rumahnya.
          “Faz datang nak ambik abang Jo, Ju. Kalau Ju dah tak sanggup lagi nak jaga abang Jo, Faz tak boleh nak kata apa dah.” Dr.  Fazlin terus masuk ke dalam rumah dan menuju ke bilik Johan. Dia mengetuk dari luar dan melaungkan kedatangan dia untuk mengambil Johan.
          “Faz, bukan Ju tak nak jaga abang….”
          “Faz nak bawa abang Jo pergi dari sini, sambil itu mungkin boleh pulihkan sekali keadaannya.” Maksud Dr. Fazlin itu bukanlah kerana penyakit lakonan Johan tapi keadaan saat itu yang mana telah melukakan hati Johan dan hati Julia sekali. Biarlah masa yang merawatnya meskipun Julia tidak dapat menangkap maksud Dr. Fazlin itu.
          “Faz tak boleh nak pisahkan Ju dengan suami Ju….”
          “Ju, Faz tak tahu apa masalah yang terjadi di antara Ju dengan abang Jo, tapi bila abang Jo cakap Ju dah tak sanggup lagi nak menjaga dia, Faz tak nak biarkan abang faz ni sendirian.”
          “Faz, Ju tahu Ju salah tapi ini bukan cara….” Julia terdiam apabila Johan membuka pintu sambil membimbit beg pakaian bersamanya.
          “Abang… Abang nak pergi mana ni?” Julia mula menangis, dalam hidupnya tiada saatkah untuk dia tidak mengalirkan airmata.
          Johan hanya diam dan melangkah keluar dari rumah itu sambil ditemani oleh adiknya. “Abang maafkan kesalahan Ju dan halalkan segala makan minum Ju.” Hanya itu yang jelas di pendengaran Julia sebaik sahaja Johan melangkah keluar.
          Dr. Fazlin turut menahan sebak apabila melihat Julia yang terduduk di lantai sambil menangis teresak-esak. “Faz harap Ju terus tabah dan mendoakan agar hati abang Jo masih pada Ju. Maafkan Faz kerana Faz sudah memujuk abang tapi abang tetap buat keputusan begitu.”
          “Faz, tolong Ju, Faz. Ju dah takde sesiapa lagi di sini.”
          “Abang akan pergi ke tempat mama dan papa. Mama dan papa berada di UK sekarang ni. Ju boleh terus tinggal di sini, Faz takkan menghalau Ju keluar. Maafkan Faz andai permainan ini melukakan hati Ju.” Terus Dr. Fazlin menghilang di sebalik daun pintu utama.
         

JULIA masih menangis lagi walaupun sudah lama Johan meninggalkan rumah mereka. ‘Abang, Ju perlukan abang kat sini.’ Airmatanya terus mengalir dan mengalir sehingga Julia terlelap di atas sofa.
          Dia bermimpi bahawa Johan tidak akan kembali kepadanya lagi. Airmatanya masih mengalir walaupun matanya terpejam rapat. Itulah saat kesedihan yang ketiga dalam hidupnya apabila terpisah dengan orang dia sayangi. Walaupun dia mengenali Johan dalam keadaan sedemikian, tetapi cinta untuk seorang suami tetap tertumpah kepada Johan.
          Mujurlah keesokan harinya adalah hari sabtu dan dia tidak perlu pergi ke pejabat, kalau tidak pasti dia terpaksa mengambil MC pada hari itu.
          Memandang dinding yang sunyi semakin menambahkan lara dalam hati Julia. Kerana tidak dapat bersabar dengan perbuatan Fika, Johan pula yang menjadi mangsa amarahnya. Dia tidak mahu menangis lagi tapi itu juga yang terjadi. Hasrat dan harapan untuk mengenalkan Johan kepada adiknya tidak kesampaian dan dia begitu ralat sekali hal ini boleh terjadi.
          Dia menangis dan terus menangis sendirian, tiada sesiapa yang berada di sisi untuk menenangkan perasaan sedih yang menghuni hatinya. Jika dulu saat sedih kehilangan orang tuanya, pujukan Mak Leha mampu memujuknya agar tabah dan membuatkannya berhenti menangis seketika sebelum dia menangis kembali apabila Mak Longnya bersikap kejam terhadapnya.
Sekali lagi hadir seorang insan iaitu Mak Mah yang banyak memujuknya agar dia sabar dan tabah menghadapi segala-galanya mengenai Mak Longnya.Tapi kini tiada lagi insan yang sanggup untuk memujuknya dan menghapuskan airmata di pipinya.
“Abang… Ju……” Esakan tangisan itu terus berpanjangan memenuhi ruangan rumahnya.


BERBULAN-BULAN lamanya Johan menetap bersama papa dan mamanya di UK. Kadang kala papanya ada juga menyatakan kebimbangan bahawa cawangan syarikat di Malaysia tiada pengurus yang sedang menguruskannya. Tapi Johan hanya membalas yang dia mempercayai sahabat karibnya, Rusdi.
          Andai dia kebosanan kerana sering ditinggalkan bersendirian di rumah disebabkan kesibukan mama dan papanya, dia akan keluar melancong ke tempat yang biasa dia ziarahi, Bandar Besar Edinburgh. Bercuti dan melancong adalah perkara yang sudah lama ditinggalkan semenjak dia pulang ke Malaysia dan menjejakkan kaki ke syarikat papanya.
          Termenung di tepi tingkap sambil memandang suasana musim luruh itu semakin menggetarkan perasaan rindunya terhadap Julia. Entah ingatkah Julia pada dirinya atau tidak.
          Baru-baru ni adiknya Faz ada memberitahu bahawa Julia sudah tidak lagi tinggal di kondominium itu selepas dia meninggalkannya sendirian. Mama dan papa juga tidak banyak bertanya pula mengenai perkahwinannya dengan Julia.
          Rusdi pula masih menjadi pelapor terhormat yang sentiasa melaporkan setiap gerak geri Julia di syarikatnya itu. Paling tidak, Julia masih lagi bekerja di syarikatnya. Puas juga dirinya memujuk agar Rusdi menceritakan segalanya tentang Julia apabila Rusdi mengetahui hal dia keluar dari rumah. Bernanah telinganya mendengar ceramah Rusdi mengenai penganiayaan suami terhadap isteri. Berjam-jam dia menadah telinga barulah Rusdi memberitahunya keadaan Julia di pejabat.


‘SOMETIMES I want to play hide and seek just to hear someone say, I found you.’ Setiap kali Julia teringatkan barisan ayat itu, hatinya kembali sebak kerana dia selalu berharap ‘someone’ itu adalah Johan. Sudah berbulan-bulan lamanya dia digantung tak bertali akibat perbuatannya dulu dan kini dia tidak lagi menetap di kondominium milik suaminya.
          Baginya biarlah dia belajar berdikari sendirian kerana apabila sampai masanya, mungkin Johan akan kembali dan apa jua keputusannya, dia terima dengan hati yang tabah. Setiap hari juga dia mendoakan kesembuhan buat Johan dan meminta dalam doanya agar Johan tidak melupakannya walau sesaat pun.
          Fika juga sudah tidak bekerja lagi di syarikat Johan selepas kejadian di pantry itu. Mungkin dia berasa tidak selesa untuk terus bekerja bersama Julia atau dia malu sendiri dengan tindakan kurang ajarnya itu.
          Mardhiyah pula terus memerhatikan tingkahlaku Julia yang semakin hari semakin workaholic pada pandangannya. Apabila diceritakan kepadanya suaminya Rusdi, suaminya hanya memandang sepi dengan ceritanya.
          “Julia… Lunch hour ni tak keluar makan ke?” Soal Mardhiyah sambil mengemas mejanya sambil Rusdi menunggu di ruang lif. Rusdi sudah berpesan kepadanya agar tidak mencampuri sabarang urusan peribadi Julia walaupun Julia tidak pernah bercerita.
          “Tak Mar, Ju dah bawa bekal siap-siap dari rumah. Mar makan dengan siapa teman?” Julia mengangkat muka dan memandang Mardhiyah yang sudah berjalan menuju ke arahnya.
          “Takpelah kalau macam tu, jangan tak makan sudah. Mar punya suamilah yang minta supaya ditemankan. Biasanya dulu dia tu tinggal je Mar pergi makan dengan budak-budak pejabat ni, dia pergi teman bos besar kita makan. Tapi dah sekarang ni bos kita tu cuti tak balik-balik lagi, tu yang diajaknya Mar makan sekali dengan dia, dah tak boleh nak makan dengan budak-budak pejabat lagi dah. Pergi dulu ya Ju.” Mardhiyah tersenyum manis dan melambai tangannya kepada Julia.
          Julia tersenyum membalas lambaian tangan Mardhiyah. Dia terkenangkan lagi selepas sebulan dia bekerja di situ barulah Mardhiyah mendedahkan bahawa Rusdi adalah suaminya. Siapa sangka Mardhiyah seorang yang peramah dan tidak sombong itu bersuamikan orang yang berpangkat tinggi juga dalam syarikat itu.
          Encik Rusdi pula sangat baik melayani pekerja-pekerja di situ, jadi sangat sesuailah apabila dia bergandingan dengan Mardhiyah. Itulah fikiran Julia setiap kali memandang pasangan suami isteri itu bila datang dan pulang kerja bersama.

2 comments:

  1. Kesian Julia...bila agaknya bahagia akan menjenguk dirinya..

    ReplyDelete
  2. nk lg .... cerita ni best..hope dapat sambung baca lg. lama tunggu knp ak keluar lagi

    ReplyDelete