Bab
38
FIKA menghempas dirinya di kerusi empuk di dalam
pejabatnya itu. Baru seminggu dia masuk kerja tetapi dia masih tidak berpuas
hati apabila dia diletakkan di bawah pengurusan Julia.
Semakin
bertambah sakit hatinya apabila Johan langsung tidak melayaninya semenjak dia
mula masuk kerja malah lebih banyak menghabiskan masa bersama Julia.
“Fika,
you nak temankan I makan tengah hari tak?” Ajak Johan tiba-tiba dari muka pintu
biliknya. Tergamam juga Fika dengan ajakan yang tidak disangka-sangka itu.
“What???
Lunch??? Errr… You ajak I ke??” Terbangun Fika dari kerusinya. Dia cepat-cepat
menyusun segala kertas di atas mejanya itu.
“Erm,
ada orang lain lagi ke yang bernama Fika di sini.” Terangkat kening Johan
kepada Fika.
“Eh,
betul ke ni? Macam tak percaya pulak I.
Tak pernah-pernah pun sebelum ni you
nak ajak pergi lunch bersama.” Kata
Fika sambil tersenyum sendiri. Dalam fikirannya bahawa Johan sudah mula mahu
menagih perhatiannya kembali.
“I tunggu kat kereta, ok. Cepat sikit,
perut I dah lapar sangat ni.” Johan
terus berlalu meninggalkan Fika yang masih berada dalam pejabatnya. Fika
cepat-cepat mengejar langkah Johan yang sudah jauh.
Selepas
mereka berdua berada di dalam kereta, Johan terus memandu keluar dari tempat
itu. Johan sengaja mengajak Fika bersama untuk melihat reaksi Julia apabila
mereka makan tengah hari bersama nanti. Dia juga ingin meleraikan segala
persoalan dan rahsia yang tersimpan.
“Sebenarnya
Fika, kita lunch kat rumah I. Mama I ada buat makan sikit kat rumah tu. Dia suruh I bawa you sekali sebab
rasanya your parents dah sampai sana
kot.” Johan terus berkata benar kerana hatinya sudah mahu muntah dengan
senyuman sumbing Fika yang perasankan diri sendiri itu. Paling tepat sekali jangkaan
Johan bila senyuman Fika mati begitu saja.
Kalau
tak kerana papa dan mamanya, takkan dia rela berdua bersama Fika dalam kereta
itu. Bagi menghormati persahabatan dua buah keluarga, dia turutkan saja. Cuma
bahagian untuk penyatuan keluarga itu sahaja dia masih belum mampu untuk
menunaikannya.
“I ingatkan kita pergi lunch macam date gitu. Kalau macam tu I
tak ikut you tadi.” Muncung mulut
Fika sambil membelakangkan tubuhnya. Sedikit pun Johan tidak kisahkan keadaan
itu.
“Eh,
kata pergi rumah you, kenapa lalu
jalan ni pulak?” Tanya Fika seperti menyedari sesuatu. Johan tidak melalui
jalan yang menuju ke rumahnya.
“Sebab
masih ada dua orang penumpang kereta ni. Tadi Rusdi tinggalkan Mardhiyah dengan
Julia kat sini untuk settlekan hal
iklan. Julia temankan Mardhiyah tadi. So, sekarang ni kita ambil mereka dulu
kat sini baru pergi rumah I.” Kata
Johan selepas dia memberhentikan keretanya di tepi jalan.
“What!!!
You….. you…. Diorang berdua…. Bencinya….” Semakin berangin Fika dibuatnya.
Johan
tersenyum bila dia ternampak kelibat Julia dan Mardhiyah. Terus dia membuka
tingkap keretanya dan melambai tangan dari dalam kereta. Laju sahaja langkah
Mardhiyah dan Julia menuju ke keretanya. Julia yang melihat ada teman di
sebelah Johan mula berkerut dahi.
“Terima
kasihlah Encik Johan.” Kata Mardhiyah. Julia sudah berdiam diri menahan
perasaan.
Johan
hanya ketawa senang sahaja sambil memandu laju. Situasi di dalam kereta itu
hanya diam dan sepi sahaja. Mardhiyah hanya melayan perasaan, Fika memencilkan
diri tidak berpuas hati, Johan hanya senang memandu sambil sesekali dia
memandang ke cermin belakang untuk melihat Julia dan Julia pula sibuk menahan
perasaan dan memerhatikan tingkah Fika dan Johan.
PUAN SRI DR.
NAZIA AMINAH menyambut mereka di
muka pintu. Sebenarnya dia sudah tidak sabar untuk melihat wajah menantu
perempuan tunggalnya itu. Hari ini, anak lelakinya berjanji untuk membawa Julia
pulang makan tengah hari dan memperkenalkan kepadanya.
Wajah
pertama yang dia dapat lihat keluar dari kereta itu adalah Fika, hatinya sudah
berdetik hebat. Anak lelakinya cuba untuk mempermainkan dia ke pada hari itu? Puan
Sri Dr. Nazia Aminah cuba memaniskan muka apabila Fika menerpa ke arahnya dan
memeluknya.
“Mama
Zia sihat? Fika rindu sangat kat mama Zia. Lamanya Fika tak jumpa dengan mama
Zia, kan. Fika pun macam tak percaya bila mama cakap yang mama Zia dah balik ke
Malaysia semula.” Fika cuba mengambil hati Puan Sri Dr. Nazia Aminah. Puan Sri
Dr. Nazia Aminah hanya menganggukkan kepala sahaja sambil tersneyum. Kepalanya
masih mencari-cari wajah baru yang keluar dari kereta Johan itu. Mardhiyah pula
yang kelihatan keluar dari kereta itu.
“Mardhiyah.
Lama tak tengok kamu.” Puan Sri Dr. Nazia Aminah menegur Mardhiyah pula. Fika
di sisinya hanya dibiarkan sahaja. Mardhiyah menghulurkan tangan untuk bersalam
dengan Puan Sri Dr. Nazia Aminah.
Dia sebenarnya terkejut dengan sapaan Puan Sri Dr.
Nazia Aminah itu kerana selama ini mereka tidak pernah bercakap melainkan
Mardhiyah menegur Puan Sri Dr. Nazia Aminah. Itupun kalau Puan Sri Dr. Nazia
Aminah membalas kembali sapaannya. Keramahan dan kemesraan yang ditunjukkan
oleh Puan Sri Dr. Nazia Aminah sedikit sebanyak disenangi kini.
Ada wajah baru yang Puan Sri Dr. Nazia Aminah
melihat pada hari itu. Terus dia tersenyum senang dengan apa yang dia lihat
untuk hari itu. Tangan yang dihulurkan Julia terus disambut dan Julia ditarik
ke dalam pelukannya.
Hampir terbeliak mata Fika yang melihat perbuatan Puan
Sri Dr. Nazia Aminah itu. Mardhiyah juga tidak menyangka hal tersebut.
Puan Sri Dr. Nazia Aminah menggenggam kemas tangan
Julia. Belum sempat Puan Sri Dr. Nazia Aminah berkata apa, mereka berlima
disergah oleh satu suara.
“Haaaa….” Mereka berlima terus berpaling ke dalam
rumah. Terkocoh-kocoh Dr. Fazlin keluar rumah menymbut Julia. Terjerit dia
melihat Julia berada di hadapan pintu rumah banglo tu bersama mamanya.
“Julia…..” Dr. Fazlin terus menarik tangan Julia
dari genggaman mamanya. Giliran dia pula memeluk Julia yang terpinga-pinga itu.
Julia yang seperti tersedar itu melihat Dr. Fazlin turut ketawa bersama. Tidak
sangka pula mereka akan berjumpa di situ.
“Mari masuk Julia, mari masuk. Eh, Mardhiyah pun
ada sekali. Tak perasan pulak. Sori. Sori. Sori.” Dr. Fazlin sudah ketawa lepas
menunjukkan dia begitu senang hati dengan kedatangan Julia. Mardhiyah
menghulurkan tangan untuk bersalam dengan kepala yang memikirkan apa yang
dilihatnya itu.
Hanya seseorang yang turut berada di situ juga
tidak puas hati dan menahan perasaan dengan keakraban yang ditunjukkan oleh Dr.
Fazlin kepada Julia. Johan sudah meminta mereka semua masuk ke dalam rumah.
Takkanlah semua mahu berkumpul di luar rumah, kalau macam tu apa fungsinya
sebuah rumah.
“Faz buat apa kat sini? Eh, perut tu macam ada isi
je?” Tegur Julia sambil berpimpin tangan dengan Dr. Fazlin. Mereka berdua sudah
meninggalkan mana yang masih berada di luar rumah.
“Eh, nikan rumah papa dengan mama. Mestilah Faz
pun ada kat sini. Haaa… Nak kenalkan Julia pada mama. Mama cakap dia nak sangat
jumpa dengan Julia.” Dr. Fazlin sudah sakan bercerita kepada Julia.
“Tak payahlah nak kenalkan mama dengan Julia kalau
kamu dah bawak Julia lari awal-awal lagi dari mama.” Puan Sri Dr. Nazia Aminah
bersuara dari belakang mereka berdua.
Dr.
Fazlin terus berpaling dan tersengih-sengih malu dengan kesilapannya itu.
Teruja dapat berjumpa dengan Julia buatkan dia terlupakan segala-galanya.
Abangnya turut tersenyum dengan lagaknya yang gembira kerana janji sudah
tertunai.
“Alah
mama ni, nak merajuk pulak dia. Takpe-takpe, nanti Faz mintak papa pujukan.
Hahaha.” Fika yang melihat semakin sakit hati. Tidak pernah dia melihat
kemesraan yang terjalin antara Dr. Fazlin dan Puan Sri Dr. Nazia Aminah. Orang
luar yang mencuba menghancurkan kebahagiaan sesebuah keluarga memang akan
berasa seperti itu.
“Dahlah,
mari masuk semua. Mar, suami kamu dah lama sampai. Saya ingatkan Mar dengan
yang lain ni tak datang.” Sambil berjalan masuk ke rumah mereka berborak. Puan
Sri Dr. Nazia Aminah yang memulakan setiap perbualan untuk mencuba mengeratkan
silaturrahim.
“Sebenarnya
Puan Sri, saya tak tahu langsung yang Encik Johan nak bawak kita orang ni
datang sini. Ingatkan Encik Johan datang untuk ambil kami berdua ni sebab kami
takde pengangkutan nak balik ke ofis semula.” Terang Mardhiyah. Fika sudah
terdiam dan membisu. Masing-masing sudah tidak menghiraukan lagi kehadirannya
di situ.
“Saya
yang menyuruh Johan bawakkan kamu ke sini. Sambil itu, saya nak berkenalan
dengan Julia. Dah lama asyik dengar nama sahaja dari Faz, hari ni barulah boleh
bertentang mata ni suka jugak hati ni.” Julia semakin keliru dengan situasi
tersebut.
‘Adakah Puan Sri sudah mengetahui mengenai dirinyakah?’
Bisik hati Julia.
“Julia? Puan Sri dah kenal ke dengan Julia ni?”
Tanya Mardhiyah. Julia sendiri sudah tertanya-tanya sendiri. Fika pula makin
keliru dengan drama yang ditayangkan di hadapannya itu.
“Apa kata kita semua pergi makan dulu. Makanan dah
lama dihidangkan di atas meja makan sana tu. Jom semua.” Ajak Johan setelah
lama mendiamkan diri dari tadi. Dengan selamba sahaja dia menggenggam erat
jemari Julia di hadapan tetamu-tetamunya itu.