Bab
30
JOHAN
hanya memandang awan putih dari sisi tingkap kapal terbang. Terus memori
bersama Julia terimbau kembali. Setiap petang dia dan Julia akan turun ke taman
permainan di hadapan kondonya.
Di
taman itu mempunyai sebuah kolam yang sederhana besar. Di kolam itu orang ramai
dapat mencari ketenangan dengan melihat gelagat ikan yang berebutkan makanan.
Keadaannya sungguh damai sekali walaupun berada di tengah kota.
“Macam manalah perasaan orang yang
naik kapal terbang tu kan?” Soal Julia sambil memandang ke arah langit. Johan
turut mendongak ke awan putih di langit yang biru itu, ternampak kecil sahaja
kapal terbang di langit itu.
“Kenapa?”
Johan menatap wajah Julia yang
mendongak ke atas. Wajah bersih itu tiada sedikit pun kecacatan padanya.
Semuanya adalah sempurna di mata Johan.
“Sebab tak pernah naik kapal terbang.
Tak pernah ada peluang macam tu.” Julia hanya tersenyum sambil memandang ke
atas langit itu.
“Dulu hanya dengar cerita dari kawan
sekelas yang berasal dari Sabah dan Sarawak bila masa cuti semester, diorang
akan balik naik kapal terbang. Tapi bila ada cuti yang masanya singkat saja
diorang takkan balik ke sana sebab tiket kapal terbang mahal.
Pernah
ada angan-angan untuk naik kapal terbang tapi nak pergi mana. Tak tahu nak
pergi mana kalau naik kapal terbang. Tahu naik bas je kalau nak balik Kedah
dulu.” Julia hanya meluahkan apa yang terpendam dalam sanubarinya.
Johan hanya terdiam dan memandang
sekali lagi ke langit biru itu.
“Mesti best bila dapat duduk sama
tinggi dengan langit ciptaan tuhan tu. Mesti dapat lihat keindahan bumi dari
atas sana kan. Pernah baca dalam artikel masa belajar dulu, pakar
astronomi Islam ada membincangkan tentang ayat-ayat al-quran yang berceritakan
tentang langit, bila langit mengecut nanti bulan dilagakan dengan matahari, yang
pasti manusia hanya dapat mengagak, hanya ALLAH yang Mengetahui.
Langit
ada tujuh lapis, yang kita dapat lihat daripada bumi ini ialah langit yang
pertama, diceritakan jugak bahawa langit kedua lebih luas ruangnya. Di sana ada
alam lain dengan dimensi yang berbeza. Satu-satunya manusia yang melepasi
langit kedua dan seterusnya dan sampai ke Sidratul Muntaha dan kembali semula
ke bumi ialah Nabi kita Nabi muhammad saw yang pasti jika orang lain ingin
melepasi dimensi yang berbeza ini perlukan pakaian serta peralatan yang sesuai. Menakjubkan sekali setiap hikmah-hikmah itu
kan.” Johan hanya mendengar setiap bait kata-kata Julia itu.
Selama
ini dia hanya memandang ke arah langit tanpa apa-apa perasaan tapi apabila
bersama Julia, dia tersenyum dalam hati.
‘Benar kata-kata sayang itu, menakjubkan sekali
hikmah-hikmah yang terlindung pada setiap kejadian.’
Apa
yang Johan rasa ketika itu sungguh berbeza sekali, bersama Julia, dia
mempelajari sesuatu yang baru. Kesilapan dirinya yang disedarkan oleh Julia
bahawa hidup ini bukan hanya mencari rezeki semata-mata.
Banyak
perkara yang masih perlu dia pelajari rupa-rupanya. Jika sebelum ini dia
mencari keikhlasan orang lain terhadap dirinya, tetapi rupa-rupanya diri
sendiri yang harus ikhlas terlebih dahulu terhadap orang lain.
ADA gosokan
lembut di pahanya, lantas dia terus berpaling. Mamanya sedang tersenyum sambil
membuat isyarat, ‘kenapa?’
“Teringatkan memori tentang langit,
mama.”
“Memori tentang langit?”
“Erm…
Masa tu Jo duduk di taman depan kondo Faz tu dengan Julia. Ada kapal terbang di
langit. Isteri Jo tak pernah naik kapal terbang kalau mama nak tahu, yang Jo
ingat dia ada cerita pasal langit pada Jo.”
“Erm,
mama betul-betul tak sabar nak tengok menantu mama tu. Mak Mah dengan Pak Din
puji macam-macam kat budak tu.”
“Budak,
mama? Haha. Macam lain je bila mama sebut budak tu.” Johan hanya tersenyum
sahaja.
“Eh,
kan kamu kahwin dengan dia masa jadi budak-budak. Mama tak terfikir pun kesan
kemalangan tu boleh jadi macam tu. Ada jugak kes macam ni, ya. Pelik bin ajaib
jugak penyakit zaman sekarang ni.”
“Hahaha.
Nak buat macam mana lagi mama. Dah nak sakit. Hahaha.” Gementar juga dada dia
bila mengingatkan masa untuk berterus-terang hampir tiba.
“Mama,
kalau Jo ada buat salah dengan mama, mama ampunkan tak?”
“Kenapa
pulak cakap macam tu? Mestilah mama ampunkan, sedangkan mama sendiri ada salah
silap dengan anak-anak mama.”
“Nanti
dah sampai Malaysia, Faz dengan Man yang jemput kita kat airport. Mama jangan
risau, Faz tak simpan apa-apa pun dekat mama. Apa yang dia pernah ucap, pernah
kata tu sebenarnya dia tak pernah berniat pun nak buat macam tu.”
“Mama
tahu, sebab tu mama rasa bersalah pada dia…”
“Mamanya,
kita kena yakin pada anak kita. Apa yang lepas tu biarlah lepas. Tak payah dah nak
sebut berulang kali. Sampai bila nak ungkit perkara sama, nak sebut perkara
sama.” Tan Sri Nazirul Fadli memotong kata-kata Puan Sri Dr. Nazia Aminah.
Ingatkan
Tan Sri Nazirul Fadli sudah lena sepanjang perjalanan mereka pulang ke
Malaysia. Rupa-rupanya Tan Sri Nazirul Fadli turut memasang telinga mendengar
perbualan antara Johan dan Puan Sri Dr. Nazia Aminah.