Assalamualaikum w.b.t….
Baru hari ini saya dapat meng”update” blog ini setelah
saya dapat menenangkan diri dengan ujian Allah ke atas diri ini dan sekeluarga
dengan satu pemergian.
10 Julai 2013 / 1
Ramadhan 1434 Hijriah
Pada tahun ini saya tidak dapat berbuka puasa pada hari
pertama itu bersama keluarga kerana kekangan masa tambahan pula pada keesokan
harinya saya mempunyai peperiksaan untuk semester 4. Bersama sahabat saya,
Badriah, kami hanya berdua berbuka puasa pada hari pertama itu di kolej Mawar,
UiTM Shah Alam.
Pada malam itu, masih saya ingat jam 10.36 malam saya
menelefon ayah untuk memberitahu bahawa saya sudah kehabisan duit. Biasanya saya
akan mempunyai sedikit simpanan untuk perkara kecemasan, jadi duit lebih itu
tidak akan saya gunakan. Seronok dapat berborak dengan ayah yang mengusik untuk
membuatkan saya jeles bahawa ayah membawa 2 orang kakak saya pergi membuat
terapi kaki di kampung. Bila saya merajuk dengan usikan itu, ayah berjanji
apabila saya sudah habis periksa nanti pada 14hb Julai, ayah akan membawa saya
pula nanti. Saya masih ingat ayat terakhir yang saya ucapkan pada ayah, LIN SAYANG AYAH… Banyak kali saya
ucapkan sampailah ayah mengakhiri perbualan kami berdua.
Selepas itu saya meneruskan pembacaan untuk persediaan
untuk keesokan hari peperiksaan yang akan bermula pada jam 9.00 pagi.
11 Julai 2013 / 2
Ramadhan 1434 Hijriah
9.00 pagi
Jika dilihat pada hari sebelum itu, sebelum saya
melangkah ke dewan peperiksaan, saya akan menelefon ayah itu memohon restu dan
meminta agar ayah berdoa di samping saya turut berdoa agar segala urusan
dipermudahkan. Namun pada pagi itu saya sudah kelewatan pergi ke dewan
peperiksaan. Sedikit kelam kabut pada pagi itu sehinggakan saya terlupa untuk
menelefon ayah pada pagi itu. Saya terus melangkah masuk ke dewan peperiksaan.
11.00 pagi
Setelah tamat peperiksaan pada jam 11.00 pagi, saya masih
belum sempat untuk menelefon ayah untuk mengkhabarkan saya sudah habis
peperiksaan untuk hari itu kerana saya bergegas untuk bertemu dengan pensyarah
saya untuk mengambil buku log untuk kesenangan waktu praktikal nanti.
Pensyarah En. Nadzari pula tiada di penjabatnya kerana
beliau bertugas untuk menjaga dan mengawal di dewan periksa. Temujanji kedua di
buat pada jam 2.00 petang pula. Kebiasaannya selepas habis peperiksaan, saya
dan kawan-kawan akan melepak untuk merehatkan minda di Kolej Anggerik, UiTM
Shah Alam. Berborak dan berbual mengenai kertas subjek periksa tadi
bersama-sama kawan-kawan yang lain.
12.00 tengah hari
Kawan-kawan boleh memjadi saksi bahawa ayah tidak dapat dihubungi, bukan tidak dapat tapi seperti panggilan tidak berjawab. Anggapan dalam
fikiran mungkin ayah sedang sibuk di kaunter urusan pelan tanah di JUPEM Kuala
Terengganu, Terengganu. Segala fikiran yang baik-baik sahaja berlegar di
fikiran.
12.30 tengah hari
Setelah ayah masih gagal dihubungi, di skrin telefon
saya, nama ALONG, kakak saya yang sulung pula menghubungi saya.
Along : Assalamualaikum.
Saya : Waalaikumsalam.
Along : Lin ada kat mana ni?
Saya : Ada kat Anggerik long. Baru habis exam.
Along : Kawan-kawan ada kat sebelah?
Saya : Ada Long. Kenapa Long?
Along : Sape kawan Lin tu?
Saya : Betul ke Along ni? Macam tak caya je.
Along : Alonglah ni. Sape kawan lin tu?
Saya : Kak wani, Long. Kenapa ni Long?
Along : Along ada benda nak bagitahu ni. Lin jangan
kejut. Ayah accident tadi terus meninggal dunia.
Telefon terlepas dari
tangan jatuh ke riba dan terus airmata saya mengalir laju seperti tidak
percaya. Kawan-kawan terutamanya Kak Wani mula menepuk bahu dan bertanya
kenapa?
Saya : Ayah Lin takde dah Kak Wani. Ayah Lin takde dah. Ayah
accident. Ayah takde dah.
Saya menangis di bahu
Kak wani sambil talian kakak sulungku masih bersambung. Seperti mendengar suara
Along yang memanggil, saya kembali dekatkan balik telefon ke telinga dengan
pandangan kabur dek airmata.
Along : Bawa bertenang. Nanti Abang Anas (sepupu) akan
ambil Lin untuk bawa balik ke Terengganu. Lin kemaslah apa yang patut untuk
bawa balik. Bersabarlah, Along dengan Kak Ya (kakak keduaku), nak buat
pengecaman mayat ni kat hospital besar.
Semakin deras airmata
ini mengalir di pipi setelah aku menamatkan panggilan Along. Kak Wani terus
menggosok belakangku untuk menyabarkan aku dengan dugaan ini.
Saya : Lin baru cakap dengan ayah semalam, Kak Wani. Lin
baru cakap dengan ayah semalam, Kak Wani. Bad (Badriah) ada kat sebelah Lin
semalam Kak wani. Lin baru cakap dengan ayah semalam.
Kak Wani : Sabar Lin, ingat Allah, Lin. Bertenang Lin.
Hanya itu yang aku
mampu dengar dengan jelas kerana ada suara yang turut menyuruhku bertenang tetapi
tenggelam dek esakan tangisku.
Dalam pukul 12.45 tengah hari, aku dan 2 orang sepupuku
bertolak balik ke Terengganu. Adikku Sarah di Matrikulasi Gopeng, Perak juga
sudah teresak apabila aku menghubunginya.
Dalam perjalanan yang aku terasa tersangat lama dan
lambat, sepupuku memberitahu jenazah ayah akan dikebumikan selepas Asar. Terus airmata
aku mengalir dan tanganku menggagau mencari telefon untuk menghubungi kakak
sulungku.
Saya : Tanpa memberi salam terus…. Along, betul ke nak
kebumi lepas Asar. Lin mana sempat.
Along : Itu permintaan umi, Lin. Moga jenazah ayah
disegerakan. Takpelah, kalau sempat sempatlah. Kalau tak sempat, Lin kena redha
segalanya.
Tak tahu banyak mana
airmata ini mengalir bila Along berkata demikian. Aku tahu tentang roh yang
meminta agar jasadnya disegerakan pengembumiannya.
Dalam perjalanan itu,
aku hanya terdiam sepi dan mengesat airmata yang mengalir. Aku tiba di rumah
pada jam 6.00 petang. Sebelum itu, aku sudah dikhabarkan segala-galanya sudah
selesai. Aku hanya berdiam diri dan sepupuku yang sedang memandu telah
mengingatkan aku agar kuat di hadapan umi. Jangan menangis di hadapan umi agar
umi juga tidak berasa sedih dan bersalah. Sampai di rumah, orang pertama yang
aku tuju adalah umi. Umi sedang duduk di ruang tamu sambil memandang ke arah aku
yang sedang melangkah masuk ke dalam rumah.
Tangan umi, ku cium
dan umi mendakapku erat.
Umi : Maafkan umi. Bukan umi tak nak tunggu Lin balik.
Terus airmata aku
mengalir sambil menggelengkan kepala. Bukan salah umi berbuat demikian. Sememangnya
aku sudah redha dengan segala-galanya. Setelah tenang dalam pelukan umi,
pelukan seorang umi memang ajaib, hati yang walang pun boleh menjadi tenang.
Along memberitahu
bahawa Kak Ya ada mengambil gambar wajah terakhir arwah ayah untuk tatapi
terakhir aku dan adikku Sarah.
Hampir terduduk aku
apabila melihat wajah arwah ayah yang seakan tidur nyenyak dalam kafannya. Airmata
semakin tidak tertahan dan along memelukku erat.
Saya : Ayah tak sempat untuk mewalikan seorang pun anak
perempuannya.
Along : Sabarlah Lin. Sabarlah Lin.
Adikku Sarah sampai di
rumah pada tengah malam itu setelah tamatnya tahlil. Seperti aku juga, orang
pertama yang ditujunya adalah umi. Menangis teresak-esak dia di pelukan umi. Aku
tidak mampu memandang wajah umi yang turut bergenang airmata. Seperti aku juga,
umi meminta maaf kerana tidak dapat menunggu. Bukan kami sahaja yang bergenang
airmata, ibu-ibu saudaraku iaitu Mak Ina, Mak Long, Mak Gee, dan Cuda turut
bergenang airmata.
kak sulungku, arwah ayah, umi, adikku sarah.
aku, adik bongsuku hakimi, kak ya.
Bila agaknya kami boleh tersenyum begini lagi?
Hanya ini sahaja yang saya mampu tulis untuk hari ini. Sememangnya
ada 3 perkara amalan yang dibawa mati.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا
مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ
صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari
tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh
mendoakan untuknya.
In Shaa Allah, ayah, Lin akan berusaha untuk menjadi anak
yang soleh dan solehah agar kita dapat bertemu di akhirat kelak. Apa yang ayah
tegah, lin akan jauhi, sesungguhnya apa yang ayah larang adalah larangan Allah
s.w.t.
Semoga roh ayah ditempatkan bersama hamba-hambaNya yang
soleh dan beriman.