Bab
28
JULIA
masih mengetuk pintu bilik Johan yang berkunci. Perasaan bersalah semakin
menebal dalam dirinya.
“Abang, tolonglah buka pintu ni. Ju
mintak maaf, mintak ampun, abang. Bukan niat Ju, abang.” Teresak-esak Julia
menangis di hadapan pintu bilik Johan. Johan masih tidak membalas dan hanya
mendiamkan diri di dalam bilik.
Suara Julia yang merayu-rayu agar dia
keluar dari bilik itu sedikit sebanyak meruntuhkan benteng pertahanan
perasaannya. Johan masih berdiam diri dan menunggu jawapan adiknya.
Johan telah membuat keputusan, Julia
akan ditinggalkan bersendirian di Malaysia dan dia akan bersendirian terbang ke
UK pada malam itu juga. Sedih dengan keputusan yang dibuat, tapi hubungan suami
isteri mereka, dia akan tentukan kemudian sama ada perlukah hubungan itu
diteruskan atau dihentikan pada saat yang sesuai.
Apa yang dia sedang fikirkan, semudah
itukah dia mahu melepaskan Julia dari sisinya sedangkan Julia adalah cinta
pertama yang selalu didoakan agar menjadi cinta terakhir buat dirinya.
Julia yang masih merayu-rayu agar
Johan keluar dari biliknya terdengar bunyi loceng rumahnya. Dia mengesat
airmata dan terus membuka pintu untuk melihat gerangan tetamu yang datang malam-malam
hari.
“Faz….” Julia kembali bergenang
airmata. Untuk apa kehadiran adik iparnya pada malam itu di rumahnya.
“Faz datang nak ambik abang Jo, Ju.
Kalau Ju dah tak sanggup lagi nak jaga abang Jo, Faz tak boleh nak kata apa dah.”
Dr. Fazlin terus masuk ke dalam rumah
dan menuju ke bilik Johan. Dia mengetuk dari luar dan melaungkan kedatangan dia
untuk mengambil Johan.
“Faz, bukan Ju tak nak jaga abang….”
“Faz nak bawa abang Jo pergi dari
sini, sambil itu mungkin boleh pulihkan sekali keadaannya.” Maksud Dr. Fazlin
itu bukanlah kerana penyakit lakonan Johan tapi keadaan saat itu yang mana
telah melukakan hati Johan dan hati Julia sekali. Biarlah masa yang merawatnya
meskipun Julia tidak dapat menangkap maksud Dr. Fazlin itu.
“Faz tak boleh nak pisahkan Ju dengan
suami Ju….”
“Ju, Faz tak tahu apa masalah yang
terjadi di antara Ju dengan abang Jo, tapi bila abang Jo cakap Ju dah tak
sanggup lagi nak menjaga dia, Faz tak nak biarkan abang faz ni sendirian.”
“Faz, Ju tahu Ju salah tapi ini bukan
cara….” Julia terdiam apabila Johan membuka pintu sambil membimbit beg pakaian
bersamanya.
“Abang… Abang nak pergi mana ni?”
Julia mula menangis, dalam hidupnya tiada saatkah untuk dia tidak mengalirkan
airmata.
Johan hanya diam dan melangkah keluar
dari rumah itu sambil ditemani oleh adiknya. “Abang maafkan kesalahan Ju dan
halalkan segala makan minum Ju.” Hanya itu yang jelas di pendengaran Julia
sebaik sahaja Johan melangkah keluar.
Dr. Fazlin turut menahan sebak apabila
melihat Julia yang terduduk di lantai sambil menangis teresak-esak. “Faz harap
Ju terus tabah dan mendoakan agar hati abang Jo masih pada Ju. Maafkan Faz
kerana Faz sudah memujuk abang tapi abang tetap buat keputusan begitu.”
“Faz, tolong Ju, Faz. Ju dah takde
sesiapa lagi di sini.”
“Abang akan pergi ke tempat mama dan
papa. Mama dan papa berada di UK sekarang ni. Ju boleh terus tinggal di sini,
Faz takkan menghalau Ju keluar. Maafkan Faz andai permainan ini melukakan hati
Ju.” Terus Dr. Fazlin menghilang di sebalik daun pintu utama.
JULIA
masih menangis lagi walaupun sudah lama Johan meninggalkan rumah mereka.
‘Abang, Ju perlukan abang kat sini.’ Airmatanya terus mengalir dan mengalir
sehingga Julia terlelap di atas sofa.
Dia bermimpi bahawa Johan tidak akan
kembali kepadanya lagi. Airmatanya masih mengalir walaupun matanya terpejam
rapat. Itulah saat kesedihan yang ketiga dalam hidupnya apabila terpisah dengan
orang dia sayangi. Walaupun dia mengenali Johan dalam keadaan sedemikian,
tetapi cinta untuk seorang suami tetap tertumpah kepada Johan.
Mujurlah keesokan harinya adalah hari
sabtu dan dia tidak perlu pergi ke pejabat, kalau tidak pasti dia terpaksa
mengambil MC pada hari itu.
Memandang dinding yang sunyi semakin
menambahkan lara dalam hati Julia. Kerana tidak dapat bersabar dengan perbuatan
Fika, Johan pula yang menjadi mangsa amarahnya. Dia tidak mahu menangis lagi
tapi itu juga yang terjadi. Hasrat dan harapan untuk mengenalkan Johan kepada
adiknya tidak kesampaian dan dia begitu ralat sekali hal ini boleh terjadi.
Dia menangis dan terus menangis
sendirian, tiada sesiapa yang berada di sisi untuk menenangkan perasaan sedih
yang menghuni hatinya. Jika dulu saat sedih kehilangan orang tuanya, pujukan
Mak Leha mampu memujuknya agar tabah dan membuatkannya berhenti menangis seketika
sebelum dia menangis kembali apabila Mak Longnya bersikap kejam terhadapnya.
Sekali
lagi hadir seorang insan iaitu Mak Mah yang banyak memujuknya agar dia sabar
dan tabah menghadapi segala-galanya mengenai Mak Longnya.Tapi kini tiada lagi
insan yang sanggup untuk memujuknya dan menghapuskan airmata di pipinya.
“Abang…
Ju……” Esakan tangisan itu terus berpanjangan memenuhi ruangan rumahnya.
BERBULAN-BULAN
lamanya Johan menetap bersama papa dan mamanya di UK. Kadang kala papanya ada
juga menyatakan kebimbangan bahawa cawangan syarikat di Malaysia tiada pengurus
yang sedang menguruskannya. Tapi Johan hanya membalas yang dia mempercayai
sahabat karibnya, Rusdi.
Andai dia kebosanan kerana sering ditinggalkan
bersendirian di rumah disebabkan kesibukan mama dan papanya, dia akan keluar
melancong ke tempat yang biasa dia ziarahi, Bandar Besar Edinburgh. Bercuti dan
melancong adalah perkara yang sudah lama ditinggalkan semenjak dia pulang ke
Malaysia dan menjejakkan kaki ke syarikat papanya.
Termenung di tepi tingkap sambil
memandang suasana musim luruh itu semakin menggetarkan perasaan rindunya
terhadap Julia. Entah ingatkah Julia pada dirinya atau tidak.
Baru-baru ni adiknya Faz ada
memberitahu bahawa Julia sudah tidak lagi tinggal di kondominium itu selepas
dia meninggalkannya sendirian. Mama dan papa juga tidak banyak bertanya pula
mengenai perkahwinannya dengan Julia.
Rusdi pula masih menjadi pelapor
terhormat yang sentiasa melaporkan setiap gerak geri Julia di syarikatnya itu.
Paling tidak, Julia masih lagi bekerja di syarikatnya. Puas juga dirinya
memujuk agar Rusdi menceritakan segalanya tentang Julia apabila Rusdi
mengetahui hal dia keluar dari rumah. Bernanah telinganya mendengar ceramah
Rusdi mengenai penganiayaan suami terhadap isteri. Berjam-jam dia menadah
telinga barulah Rusdi memberitahunya keadaan Julia di pejabat.
‘SOMETIMES I want to play hide and seek
just to hear someone say, I found you.’ Setiap kali Julia
teringatkan barisan ayat itu, hatinya kembali sebak kerana dia selalu berharap
‘someone’ itu adalah Johan. Sudah
berbulan-bulan lamanya dia digantung tak bertali akibat perbuatannya dulu dan
kini dia tidak lagi menetap di kondominium milik suaminya.
Baginya biarlah dia belajar berdikari
sendirian kerana apabila sampai masanya, mungkin Johan akan kembali dan apa jua
keputusannya, dia terima dengan hati yang tabah. Setiap hari juga dia mendoakan
kesembuhan buat Johan dan meminta dalam doanya agar Johan tidak melupakannya
walau sesaat pun.
Fika juga sudah tidak bekerja lagi di
syarikat Johan selepas kejadian di pantry itu. Mungkin dia berasa tidak selesa
untuk terus bekerja bersama Julia atau dia malu sendiri dengan tindakan kurang
ajarnya itu.
Mardhiyah pula terus memerhatikan
tingkahlaku Julia yang semakin hari semakin workaholic
pada pandangannya. Apabila diceritakan kepadanya suaminya Rusdi, suaminya hanya
memandang sepi dengan ceritanya.
“Julia… Lunch hour ni tak keluar makan
ke?” Soal Mardhiyah sambil mengemas mejanya sambil Rusdi menunggu di ruang lif.
Rusdi sudah berpesan kepadanya agar tidak mencampuri sabarang urusan peribadi
Julia walaupun Julia tidak pernah bercerita.
“Tak Mar, Ju dah bawa bekal siap-siap
dari rumah. Mar makan dengan siapa teman?” Julia mengangkat muka dan memandang
Mardhiyah yang sudah berjalan menuju ke arahnya.
“Takpelah kalau macam tu, jangan tak
makan sudah. Mar punya suamilah yang minta supaya ditemankan. Biasanya dulu dia
tu tinggal je Mar pergi makan dengan budak-budak pejabat ni, dia pergi teman
bos besar kita makan. Tapi dah sekarang ni bos kita tu cuti tak balik-balik lagi,
tu yang diajaknya Mar makan sekali dengan dia, dah tak boleh nak makan dengan budak-budak
pejabat lagi dah. Pergi dulu ya Ju.” Mardhiyah tersenyum manis dan melambai
tangannya kepada Julia.
Julia tersenyum membalas lambaian
tangan Mardhiyah. Dia terkenangkan lagi selepas sebulan dia bekerja di situ
barulah Mardhiyah mendedahkan bahawa Rusdi adalah suaminya. Siapa sangka
Mardhiyah seorang yang peramah dan tidak sombong itu bersuamikan orang yang
berpangkat tinggi juga dalam syarikat itu.
Encik Rusdi pula sangat baik melayani
pekerja-pekerja di situ, jadi sangat sesuailah apabila dia bergandingan dengan
Mardhiyah. Itulah fikiran Julia setiap kali memandang pasangan suami isteri itu
bila datang dan pulang kerja bersama.