Thursday 29 August 2013

Seindah Cintamu



Bab 30

JOHAN hanya memandang awan putih dari sisi tingkap kapal terbang. Terus memori bersama Julia terimbau kembali. Setiap petang dia dan Julia akan turun ke taman permainan di hadapan kondonya.
Di taman itu mempunyai sebuah kolam yang sederhana besar. Di kolam itu orang ramai dapat mencari ketenangan dengan melihat gelagat ikan yang berebutkan makanan. Keadaannya sungguh damai sekali walaupun berada di tengah kota.
          “Macam manalah perasaan orang yang naik kapal terbang tu kan?” Soal Julia sambil memandang ke arah langit. Johan turut mendongak ke awan putih di langit yang biru itu, ternampak kecil sahaja kapal terbang di langit itu.
          “Kenapa?”
          Johan menatap wajah Julia yang mendongak ke atas. Wajah bersih itu tiada sedikit pun kecacatan padanya. Semuanya adalah sempurna di mata Johan.
          “Sebab tak pernah naik kapal terbang. Tak pernah ada peluang macam tu.” Julia hanya tersenyum sambil memandang ke atas langit itu.
          “Dulu hanya dengar cerita dari kawan sekelas yang berasal dari Sabah dan Sarawak bila masa cuti semester, diorang akan balik naik kapal terbang. Tapi bila ada cuti yang masanya singkat saja diorang takkan balik ke sana sebab tiket kapal terbang mahal.
Pernah ada angan-angan untuk naik kapal terbang tapi nak pergi mana. Tak tahu nak pergi mana kalau naik kapal terbang. Tahu naik bas je kalau nak balik Kedah dulu.” Julia hanya meluahkan apa yang terpendam dalam sanubarinya.
          Johan hanya terdiam dan memandang sekali lagi ke langit biru itu.
          “Mesti best bila dapat duduk sama tinggi dengan langit ciptaan tuhan tu. Mesti dapat lihat keindahan bumi dari atas sana kan. Pernah baca dalam artikel masa belajar dulu, pakar astronomi Islam ada membincangkan tentang ayat-ayat al-quran yang berceritakan tentang langit, bila langit mengecut nanti bulan dilagakan dengan matahari, yang pasti manusia hanya dapat mengagak, hanya ALLAH yang Mengetahui.
Langit ada tujuh lapis, yang kita dapat lihat daripada bumi ini ialah langit yang pertama, diceritakan jugak bahawa langit kedua lebih luas ruangnya. Di sana ada alam lain dengan dimensi yang berbeza. Satu-satunya manusia yang melepasi langit kedua dan seterusnya dan sampai ke Sidratul Muntaha dan kembali semula ke bumi ialah Nabi kita Nabi muhammad saw yang pasti jika orang lain ingin melepasi dimensi yang berbeza ini perlukan pakaian serta peralatan yang sesuai. Menakjubkan sekali setiap hikmah-hikmah itu kan.” Johan hanya mendengar setiap bait kata-kata Julia itu.
          Selama ini dia hanya memandang ke arah langit tanpa apa-apa perasaan tapi apabila bersama Julia, dia tersenyum dalam hati.
‘Benar kata-kata sayang itu, menakjubkan sekali hikmah-hikmah yang terlindung pada setiap kejadian.’
Apa yang Johan rasa ketika itu sungguh berbeza sekali, bersama Julia, dia mempelajari sesuatu yang baru. Kesilapan dirinya yang disedarkan oleh Julia bahawa hidup ini bukan hanya mencari rezeki semata-mata.
Banyak perkara yang masih perlu dia pelajari rupa-rupanya. Jika sebelum ini dia mencari keikhlasan orang lain terhadap dirinya, tetapi rupa-rupanya diri sendiri yang harus ikhlas terlebih dahulu terhadap orang lain.


ADA gosokan lembut di pahanya, lantas dia terus berpaling. Mamanya sedang tersenyum sambil membuat isyarat, ‘kenapa?’
          “Teringatkan memori tentang langit, mama.”
          “Memori tentang langit?”
“Erm… Masa tu Jo duduk di taman depan kondo Faz tu dengan Julia. Ada kapal terbang di langit. Isteri Jo tak pernah naik kapal terbang kalau mama nak tahu, yang Jo ingat dia ada cerita pasal langit pada Jo.”
“Erm, mama betul-betul tak sabar nak tengok menantu mama tu. Mak Mah dengan Pak Din puji macam-macam kat budak tu.”
“Budak, mama? Haha. Macam lain je bila mama sebut budak tu.” Johan hanya tersenyum sahaja.
“Eh, kan kamu kahwin dengan dia masa jadi budak-budak. Mama tak terfikir pun kesan kemalangan tu boleh jadi macam tu. Ada jugak kes macam ni, ya. Pelik bin ajaib jugak penyakit zaman sekarang ni.”
“Hahaha. Nak buat macam mana lagi mama. Dah nak sakit. Hahaha.” Gementar juga dada dia bila mengingatkan masa untuk berterus-terang hampir tiba.
“Mama, kalau Jo ada buat salah dengan mama, mama ampunkan tak?”
“Kenapa pulak cakap macam tu? Mestilah mama ampunkan, sedangkan mama sendiri ada salah silap dengan anak-anak mama.”
“Nanti dah sampai Malaysia, Faz dengan Man yang jemput kita kat airport. Mama jangan risau, Faz tak simpan apa-apa pun dekat mama. Apa yang dia pernah ucap, pernah kata tu sebenarnya dia tak pernah berniat pun nak buat macam tu.”
“Mama tahu, sebab tu mama rasa bersalah pada dia…”
“Mamanya, kita kena yakin pada anak kita. Apa yang lepas tu biarlah lepas. Tak payah dah nak sebut berulang kali. Sampai bila nak ungkit perkara sama, nak sebut perkara sama.” Tan Sri Nazirul Fadli memotong kata-kata Puan Sri Dr. Nazia Aminah.
Ingatkan Tan Sri Nazirul Fadli sudah lena sepanjang perjalanan mereka pulang ke Malaysia. Rupa-rupanya Tan Sri Nazirul Fadli turut memasang telinga mendengar perbualan antara Johan dan Puan Sri Dr. Nazia Aminah.


Friday 16 August 2013

Seindah Cintamu




Bab 29

“JO…” Johan yang sedang menghayati angin malam itu terus berpaling suara lembut yang menyapa. Mamanya hanya tersenyum manis sahaja.
          “Mama, kenapa tak tidur lagi ni? Dah pukul berapa ni?” Johan mula melihat jam tangannya dan memandang semula ke wajah mamanya.
          “Erm… Jo tu kenapa tak tidur lagi? Orang baru nak sihat ni kena rehat yang cukup. Ni tak, mama tengok Jo selalu termenung kat sini sampai ke pagi pun ada.” Mamanya menggosok lembut bahunya.
          “Jo rindukan seseoranglah mama. Asyik teringat aje pada dia. Jo tak pernah rasa macam ni.” Johan membuka cerita apa yang terbuku di hatinya.
          “Mama tak pernah kenal dengan menantu mama tu. Ingatkan bila Jo datang sini, Jo bawak sekali menantu mama pilihan Mak Mah tu. Asyik dengar cerita, dengar nama aje muka tak pernah bertentang muka.”
          “Mama dengar cerita, mama dengar dari siapa?” Johan memandang pelik wajah mamanya. Hatinya dah mula syak pada adiknya, Fazlin yang mesti membuka cerita pada mamanya.
          “Mak Mah kamulah. Hari tu entah bila ya, Mak Mah dengan Pak Din kamu ada datang sini jenguk mama dengan papa. Banyaklah yang Mak Mah cerita pasal Julia tu. Macam mana budaknya, keluarganya, pendidikannya. Semualah Mak Mah dah ceritakan pada mama.” Ternyata sangkaannya meleset sama sekali. Ingatkan rahsia terpendam sudah terbongkar.
          “Mama suka ke tak suka?” Puan Sri Dr. Nazia Aminah pula yang membuat wajah pelik memandang ke arah Johan.
          “Suka ke tak suka ke, Julia tu dah menjadi menantu kami yang sah, Johan. Bila sebut menantu yang sah ni, bermakna dia tu isteri kamu yang sah. Ingat ke tak ingat ke kamu pada dia, tanggungjawab kamu tetap berjalan Johan.” Sampuk suara papanya dari belakang.
Kerusi taman yang kosong itu diduduki oleh papaya. Serta-merta Johan menundukkan mukanya apabila papanya, Tan Sri Nazirul Fadli berkata soal tanggungjawab.
          “Papa dengar kamu kata rindu, habis tu kenapa dibiarkan dia sorang-sorang di Malaysia tu. Apa salahnya bawak dia ke sini sekali boleh jugak kenalkan pada papa dengan mama ni. Ingatkan sekejap datang tinggal di sini, tengoklah masa berjalan cepat, kamu dah lima bulan kat sini. Apa cerita isteri kamu tu, kamu ambil tahu ke tak?” Papanya pula bertanyakan soalan yang pernah ditujukan oleh mamanya. Johan hanya mengangguk kepala dengan lemah. Kalau ikutkan hati, memang dia sangat rindukan Julia, cuma untuk berdepan sebagai orang yang sudah sihat ni apa pula fikiran Julia padanya.
          “Mama takde masalah nak terima menantu mama asalkan orangnya baik dan mampu menjaga anak-anak mama. Mama insaf selepas mama tengok anak perempuan mama tu bawak diri selepas kahwin. Mama lebih insaf lagi bila Faz layan mak mertua dia lebih baik dari mamanya sendiri.
Apa yang mama pernah buat pada dia dulu, mama tak boleh nak salahkan dia sekarang. Ni pengajaran buat mama agaknya sebab dulu lebihkan anak orang dari anak sendiri.” Puan Sri Dr. Nazia Aminah mengesat airmata yang mengalir lesu di pelupuk matanya.
          “Mama, adik Faz tak pernah bencikan mama, tak pernah ungkit apa yang terjadi cuma berkait pasal Fika tu memang dia tak suka. Lagipun diakan dah bersuami, mestilah dia kena ikut jejak suami dia. Aiman pulak, mama jangan risaulah. Dia tu menantu lelaki mama yang terbaik untuk adik Faz.” Johan memeluk bahu mamanya sambil diperhati sahaja oleh papanya.
          “Kalau Faz ada sekarang mesti lagi seronok keluarga kita ni. Mamanya, kalau kita balik Malaysia macam mana? Lama sangat dah kita berada kat sini. Balik tanah air kita pun best jugak. Lagipun segala urusan papa dah selesai dah kat sini. Balik Malaysia boleh hari-hari kita main dengan cucu sendiri.
Ni duk tengok yang orang lain sedangkan cucu sendiri ‘apa khabar’ pun tahu dari telefon saja.” Bila papa dah buat keputusan begitu, apa lagi yang boleh dikatakan oleh mama pula. Yang pasti hanya bersetuju kerana sesungguhnya tempat seorang isteri berada di sisi suaminya. Hanya Johan dan Julia sahaja tidak memenuhi keperluan fitrah itu.
“Papa, mama. Dah pukul 1 pagi ni. Papa dengan mama pergilah masuk tidur dahulu…” Tak sempat Johan nak menghabiskan ayatnya, papanya terdahulu memotong.
“Pastu kamu duk termenung kat sini sorang-sorang macam orang baru putus cinta. Ingatkan 20 tahun dulu je orang duk termenung begini bila jatuh cinta. Ni dah hampir tahun 2020 pun, gaya yang sama orang bercinta tak berubah. Dahlah mamanya, mari temankan papa tidurlah. Papa ni suami orang ada jugak isteri jadi peneman kat sebelah, dia suami orang, isteri sebagai peneman entah kat mana.” Terus papanya menggenggam tangan mamanya dan keduanya berlalu meninggalkan Johan sendirian. Tersenyum kecil Johan melihat perilaku papanya yang sememangnya sangat romantik bersama mamanya.
Entah dia bolehkan berbuat demikian apabila bersama Julia andai dia pulang ke Malaysia nanti, jodoh mereka masih ada. Namun tidak semudah itu untuk Johan melepaskan Julia dan berpisah dengannya.


JULIA semakin selesa bekerja di syarikat itu. Sehingga hari ini, hanya Mardhiyah dan Rusdi sahaja yang mengetahui mengenai status dirinya yang sudah berumahtangga. Bukan niatnya untuk tidak menghebahkan perihal dirinya sudah dimiliki tetapi dia akan tidak mempunyai jawapan jika ada orang yang bertanyakan perihal suaminya, Johan.
          “Julia, OT memang akan dibayar kepada pekerja yang bersungguh-sungguh menyiapkan kerja tapi kalau dah sampai hari-hari OT ni Julia tak berasa penat ke?” Tegur Rusdi yang sudah bersiap untuk pulang ke rumah.
Julia mencari-cari kelibat Mardhiyah pula. Seakan faham dengan perbuatan Julia, Rusdi menyambung ayatnya, “Mar pergi tandas sekejap. Ni Julia ni, tak penat ke hari-hari buat OT. Memang OT dibayar dan tak salah kalau nak buat OT, lagi bos suka sebenarnya. Saya nak tanya jugak ni, gaji yang dibayarkan kepada Julia, Julia tak berpuas hati ke?”
“Encik Rusdi, kalau saya tak habiskan masa saya dengan membuat OT ni, takde apa yang saya buat di rumah sewa tu. Sorang-sorang menghadap dinding dan lantai agaknya nanti. Jadi, lebih baik saya buat OT, boleh jugak OT tu saya buat jadi simpanan sikit. Encik Rusdi, ni kali pertama saya dengar bos begitu ambil berat hal pekerja sehinggakan bertanyakan samada gaji mencukupi atau tidak.” Julia hanya tersenyum nipis.
Rusdi turut tersenyum, ‘Memang kena tanya begitu pun Julia kalau dah suami awak amanahkan begitu kepada saya supaya menjaga kebajikan awak selama pemergian dia. Nanti dia dah balik, dia akan ambil balik tanggungjawab itu kembali. Jangan bimbang Julia, Johan sudah dalam perjalanan pulang ke Malaysia.’ Hati Rusdi berbisik halus seakan memahami situasi Julia dan untuk dia mengkhabarkan kepulangan Johan ke Malaysia kepada Julia tidak akan sama sekali. Biarlah Johan sendiri berhadapan dengan Julia nanti.
“Abang… Julia…” Mardhiyah datang mendekati kami berdua. Rusdi hanya tersenyum memandang ke arah Madhiyah sambil diperhatikan oleh Julia. Hati perempuan mana yang tidak terusik tatkala melihat orang lain bahagia sedangkan dirinya masih terumbang-ambing dengan status perkahwinannya.
“Julia, hari ni OT lagi ke? Balik berehatlah, esokkan dah hari sabtu. Lebih baik Ju balik berehat, tidur awal ke malam ni?” Mardhiyah pula seakan berleter kepadanya yang lebih mudah untuk bersikap workaholic.
“Erm, abang dah tegur Julia ni tadi Mar, kalau gaji macam tak cukup boleh jugak abang usulkan kepada bos besar supaya naikkan gaji julia ni jadi tak perlulah Julia nak buat OT hari-hari macam ni. Tak pun, ambil periksa untuk kenaikan pangkat.”
“Betul jugak kata abang tu. Mar tengok ni pun jadi kesian bila Julia berhempas pulas kat sini sorang-sorang.”
“Eh, Encik Rusdi, Mar. Julia ok jela buat kerja ni. Lagipun Julia takde apa nak buat kat rumah. Lainlah kalau Mar ni, ada keluarga yang nak diuruskan selepas waktu bekerja.” Julia cepat-cepat membantah sebelum Rusdi membuat keputusan.
“Mar bimbang jugak awak tu buat kerja sorang-sorang kat sini, dahlah perempuan nanti kalau jadi apa-apa siapa nak jawab.”
“InsyaAllah Mar, semuanya selamat-selamat belaka. Nanti kalau apa-apa, Julia telefonlah kat Mar.”
“Betul ni? Kalau ada apa-apa, terus telefon Mar, jangan tunggu sesaat pun. Ok Julia?” Julia hanya mengangkat ibu jarinya menunjukkan selesai kepada Mardhiyah.
Rusdi hanya berdiam diri melihat kesungguhan Julia. Sebenarnya hati Rusdi cukup belas melihat keadaan Julia yang seakan tiada ahli keluarga lain dan pemergian Johan di saat yang mana Julia mungkin memerlukan kehadiran Johan di sisinya.
“Kalau macam tu takpelah Julia, kami pulang dululah. Tapi jangan lupa tu, kalau ada apa-apa terus telefon.” Giliran Rusdi pula memesan kepada Julia.